Skip to main content

Rencana

Gelaran baru Mourinho ‘The Sacked One’

josemourinho.jpg
Kononnya baki 19 pesaing dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini bersepakat untuk melancarkan protes besar-besaran andainya Jose Mourinho dipecat.

Bukanlah ia bermaksud pengurus pasukan-pasukan berkenaan amat mengagumi ‘The Special One’, sebaliknya dengan ‘si kepala angin’ itu kekal di kerusi pengurus Manchester United, akan lebih mudahlah untuk pasukan lawan menundukkan mereka.

Jelas sekali, andaian pengurus berkenaan tidak terlalu meleset.

Seperti dilaporkan BBC, himpunan 26 mata yang diraih United selepas 17 perlawanan liga, adalah perolehan terburuk mereka di peringkat ini sejak musim 1990-91.

The Red Devils terpisah 11 mata daripada kelompok empat pasukan teratas yang akan memberikan mereka kelayakan ke Liga Juara-Juara – satu-satunya sasaran yang tinggal seperti pengakuan Mourinho sebelum Lembaga Pengarah United mengambil keputusan memecatnya hari ini.

Pemecatannya menyusuli perang dinginnya dengan Paul Pogba – bintang Juventus yang didatangkan daripada Juventus dengan yuran perpindahan rekod dunia £89 juta (RM471 juta) pada Ogos 2016 – yang tidak pun dimasukkan dari bangku pemain simpanan dalam kekalahan 1-3 di Anfield, Ahad lalu.

Menyusuli keputusan seri 1-1 dengan Wolves di Old Trafford, 22 September lalu, Pogba meluahkan keinginan agar United berupaya “serang, serang, serang” di laman sendiri, yang disahut Mourinho dengan melucutkan pemain tengahnya itu daripada peranan penolong kapten.

Maka, tidak hairanlah sejurus Mourinho dipecat hari ini di sebalik baru menandatangani lanjutan kontrak Januari lalu, Pogba memuat naik sekeping foto dia memberi pandangan sinisnya melalui Twitter sebelum memadamkannya.

Hakikatnya, musim ketiga Mourinho bersama United tidak bermula baik setelah terlepas beberapa sasaran pembelian pemain musim panas lalu.

Dua kekalahan daripada tiga perlawanan pertama kepada Tottenham di laman sendiri dan Brighton di tempat lawan, bermakna pasukan bimbingannya harus berperanan penghambat kepada pasukan pendahulu.

Menjelang Oktober lalu, timbul laporan Mourinho mungkin dipecat sebelum perlawanan tempat sendiri menentang Newcastle.

Ia menepati skrip berkenaan apabila United ketinggalan 0-2 tapi mereka berupaya menterbalikkan keadaan untuk kesudahannya menang 3-2 – cukup untuk memberi Mourinho talian hayat buat seketika.

Ejennya, Jorge Mendes, turut cuba menjernihkan keadaan dengan kenyataan bahawa pengurus Portugis itu tetap gembira dan kekal komited di Old Trafford.

Namun, di sebalik layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara yang akan menemukan United dengan Paris St-Germain (PSG), skuad Mourinho itu hanya menang sekali daripada enam perlawanan lalu dalam EPL.

Dengan pemecatan terbarunya, Mourinho sekadar meneruskan rentetan yang menyaksikan dia tidak pernah menghabiskan empat musim berturut-turut di sesebuah kelab.

Hanya sekali dia memasuki musim keempat bersama Chelsea sebelum dipecat pada 20 September 2007 tapi bersama United, tiada ulangan sedemikian buatnya.

Daripada ‘The Special One’, kini ‘The Sacked One’.

Advertisement

Must Watch Video