Tahniah buat Cikgu Haris (jurulatih skuad belia Selangor), yang merupakan guru saya ketika belajar dan bermain bola sepak di Sekolah Menengah Seksyen 11, Shah Alam.
Tahniah juga kepada ketua jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Reduan Abdullah, kerana pasukan bimbingannya berjaya menewaskan juara Piala Belia 2015, Selangor, dengan keputusan 2-1 dalam final kedua untuk agregat 3-1.
Saya mahu berkongsi pendapat mengenai apa yang dapat saya perhatikan ketika perlawanan akhir pusingan pertama yang berlangsung di Selayang pada 16 Oktober lalu.
Pasukan Selangor mempunyai peluang yang cerah untuk muncul pendahulu dengan kelebihan sekurang-kurangnya dua gol.
Namun, gerakan baik yang dilakukan oleh pemain tengah SSBJ yang berjersi nombor 7, Nik Akif, menghantar bola ke sebelah kanan dan membuat larian yang dilakukan oleh Nurfais, menyaksikan bola terus melambung kepada penyerang mereka, Zafuan Azeman.
Jelas kelihatan, sentuhan bola pertama mereka di dalam kawalan.
Jika diperhatikan, kesilapan pemain pertahanan Selangor, Muhammad Aiman Firdaus dan Tamilmaran, yang merempuh sesama sendiri, ternyata gagal untuk menghalang gerakan yang dilakukan oleh pemain SSBJ.
Kesilapan itu juga mengundang padah apabila bola yang terus berada di dalam kawalan Zafuan, disepak terus ke dalam jaring dan sepakan padu tersebut menewaskan penjaga gol Selangor, Aqil Fadhly Yusop.
Statistik perlawanan menyaksikan penguasaan berpihak kepada Selangor dengan 60 peratus manakala SSBJ dengan 40 peratus. Jika dilihat pada statistik tersebut, nyata pasukan Selangor sepatutnya memenangi perlawanan tersebut, tetapi kelebihan beralih kepada SSBJ yang mempunyai bekalan satu gol di tempat lawan.
Apa yang berlaku pada malam perlawanan akhir kedua jelas berbeza. Formasi yang diguna-pakai oleh SSBJ, 4-5- 1, dan Selangor dengan formasi 4-4- 2, selain kedua-dua pasukan membuat dua pertukaran pemain.
Selangor membuka tirai jaringan menerusi kesilapan yang dilakukan oleh pemain pertahanan SSBJ yang berada di sebelah kiri dan pemain bernombor 7 Selangor, Muhammad Fazrul, menghukum kesilapan tersebut dengan jaringan.
Gerakan di sebelah kiri daripada pemain SSBJ, Awang Muhammad Faiz, membuahkan hasil dan gol tercipta selepas dia membuat 'cutback' ke dalam dan pada masa yang sama, terkena kaki ketua pasukan Selangor, Tamilmaran, untuk SSBJ merekodkan jaringan.
Gol kedua SSBJ tercipta menerusi ‘set-piece’. Daripada lontaran Muhammad Anwar di sebelah kanan, terus melambung masuk ke dalam kawasan gol, dan Tamilmaran mencuba untuk mencabar bola tersebut, tetapi faktor ketinggian dan masa yang baik daripada penyerang sensasi SSBJ, Zafuan, dia memenangi bola tersebut dan menjaringkan gol kedua SSBJ.
Statistik perlawanan akhir kedua terbukti berpihak kepada SSBJ yang memiliki kelebihan dari segi menyerang berbanding pasukan Selangor. SSBJ melakukan 16 percubaan tepat manakala Selangor hanya memiliki sembilan percubaan tepat. Dari segi penguasaan perlawanan, statistik menunjukkan perlawanan berlangsung seimbang dengan 50 peratus.
SSBJ jelas memiliki kelebihan dari segi kepantasan dan fizikal. Selain faktor-faktor pemain terbaik daria seluruh negeri dikumpulkan di sekolah tersebut, ia jelas memberikan kelebihan buat mereka.
Selain diberikan pendedahan beraksi di luar, pemain-pemain SSBJ juga diletakkan di bawah pemerhatian jurulatih yang kaya dengan pengalaman, jadi SSBJ sememangnya berhak untuk memenangi Piala Belia 2016.
Buat pasukan Selangor, kegagalan menjaringkan gol dalam perlawanan akhir pertama menjadi penyebab mengapa mereka gagal untuk memenangi piala tersebut untuk musim 2016.
Terlalu banyak peluang disia-siakan selain ketumpulan di bahagian penyerang menjadi pemusnah impian mereka untuk mempertahankan kejuaraan tersebut.