Skip to main content

Rencana

Gagal hari ini tidak bermakna gagal selamanya

menembak-muslifah.jpg
Walau apa pun rintangan yang mendatang, pasti akan ada jalan penyelesaiannya.

Bulan lalu, Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) telah menggugurkan dua atlet senior, Muslifah Zulkifli dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, daripada menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sekaligus terkeluar daripada Program Podium.

Menerusi laporan daripada Berita Harian bertarikh 7 Jun 2017, Setiausaha Kehormat NSAM, Adam Tee Ching Huat, menyatakan bahawa masalah disiplin kedua-duanya turut menjejaskan prestasi semasa mereka.

"Mereka adalah penembak yang bagus. Namun, untuk sukan menembak, disiplin kena berada pada tahap tertinggi," hujahnya.

Dan menerusi laporan berita dalam akhbar yang sama pada hari yang berikutnya, kedua-dua penembak terbabit menafikan isu disiplin sebagai punca tindakan itu, sebaliknya percaya ia sengaja dijadikan alasan sebagai jalan akhir untuk menyingkirkan mereka.

"Kami hanya mahu bertanya daripada segi apa kami tidak berdisiplin. Ini satu tuduhan yang berat dan saya meminta pihak berkenaan memberikan bukti atas dakwaan terbabit," bentak mereka.

Ternyata ia merupakan satu kepincangan yang tidak seharusnya berlaku di kala kontinjen Malaysia sedang membuat persiapan fasa akhir bagi menghadapi temasya dwitahunan pada bulan hadapan.

Berdasarkan laporan berita Nadi Arena 7.30 malam semalam, pengurus pasukan menembak negara, Datuk Sabiamad Abdul Ahad, mahu isu ini tidak berpanjangan lagi.

Beliau turut menyatakan pintu sentiasa terbuka untuk dua atlet berkenaan jika mereka benar-benar ingin kembali ke pangkuan skuad kebangsaan pada masa akan datang di atas pengalaman yang dimiliki mereka.

Di sebalik perkara yang berlaku, ini adalah peluang buat mereka untuk kembali membuktikan kebolehan mereka. 

Pengguguran dan penyingkiran adalah sesuatu perkara yang paling tidak diingini oleh mana-mana atlet. Tetapi kecewa dan berputus asa bukanlah jalan yang terbaik, sebaliknya terus berusaha gigih untuk kembali diangkat dalam kalangan yang terbaik.

Ambil contoh daripada penembak veteran negara, Shahera Rahim Raja, yang mempamerkan persembahan cemerlang selepas meraih pingat emas dalam acara 10 meter air rifle dalam Kejohanan Menembak Kebangsaan, Ahad lalu.

Penembak berusia 32 tahun itu, yang tidak berada dalam skuad kebangsaan selepas melahirkan anak keduanya pada tahun lalu, kembali dengan sentuhan yang mantap dan memperbaiki rekod negara dengan mengutip 207.30 mata di Lapang Sasar Menembak Subang.

Walaupun tidak beraksi dalam dua edisi Sukan SEA (2013 di Myanmar dan 2015 di Singapura), Shahera membuktikan kebolehannya untuk kembali bersama skuad kebangsaan.

Jadi, ini adalah masa yang terbaik buat Muslifah dan Nur Ayuni Farhana untuk kembali menilai semula prestasi masing-masing dan memperbaiki kelemahan supaya tidak menjadi benteng penghalang buat mereka cemerlang di masa akan datang.

"Life's not about how hard of a hit you can give... it's about how many you can take, and still keep moving forward." ― Sylvester Stallone, Rocky Balboa.
 

Advertisement

Must Watch Video