Skip to main content

Rencana

Fantasia bulan madu di Sukan Asia

azizulhasni-960x540.jpg
Bait lagu nukilan Datuk M. Nasir ini bukan sekadar mengaitkan perihal cinta sesama manusia mahupun ketuhanan kerana jika dilihat daripada konteks yang lebih dalam, tidak kekok andai ditakrifkan sebagai rasa kasih buat negara tercinta.

Hakikatnya, ketika atlet dan kontinjen negara sedang giat mempersiapkan diri menjelang temasya kedua terbesar selepas Sukan Olimpik ini, apa yang dicanang ibarat fantasi dan dongeng yang sedang dialun sang pemimpi yang masih belum arif akan hakikat yang sedang menyelubungi kontinjen negara ketika ini.

Bahasa puisi kadangkala lebih mengelirukan buat individu yang lebih gemar kepada perutusan jelas dan terang.

Beberapa hari lalu, kita diberi gambaran hala tuju dan sasaran skuad negara di bumi bertuah Indonesia, menjelang saingan Sukan Asia yang hanya berbaki kurang dua minggu dari sekarang.

Mengatasi pencapaian di Incheon empat tahun lalu atau paling ‘lekeh’ tujuh pingat emas atau lebih bakal dibawa pulang negara sebagai habuan di pentas Sukan Asia nanti.

Ada persoalan yang mahu penulis utarakan di sini.

Pertama, mengapa Sukan Asia di Incheon jadi rujukan, sedangkan ia bukan pencapaian terbaik negara di dalam Asia setakat ini.

Malah, tidak releven untuk sebuah kontinjen yang sudah melewati persediaan beratus juta Ringgit sejak dua tahun lalu, sekadar mengambil jalan paling selamat untuk menentukan hala tuju sebenar Malaysia di Indonesia nanti.

Penulis lebih senang merujuk kepada persoalan hampir sama yang diutarakan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Wira Mazlan Ahmad, menerusi program elit yang dikenali sebagai Program Podium, sasaran tuuh emas seakan tidak kena dengan belanja yang telah di gunakan sebelum ini.

"Awak dah belanja beratus juta, itu sahaja sasaran yang berani awak letak?" kata-kata mudah untuk difahami semua.

"Paling busuk, lebih 10 emas atau menyamai pencapaian terbaik Sukan Asia di Guangzhou pada 2010 dan itu juga dikira paling minima".

Ada benarnya persoalan itu. Rasa serba tidak kena apabila memikirkan kenapa sasaran Malaysia berpaksikan pencapaian terdekat dan bukan pencapaian terbaik yang pernah dibuktikan negara sebelum ini.

Kedua, mengapa Malaysia terus berharap kepada sukan bersifat subjektif dan bukan sukan di pentas Olimpik yang sepatutnya jadi keutamaan negara.

Kita ketiadaan Cheong Jun Hoong dalam sukan terjun, tiada kelibat Datuk Lee Chong Wei untuk arena badminton mahupun kelibat Azizulhasni Awang yang belum pasti pingat warna apa yang mampu di persembahkan oleh anak jati Dungun, Terengganu itu.

Tetapi itulah hakikat. Ketika kita melaungkan keazaman memburu emas pertama Olimpik, kita masih lagi terpaksa berharap dengan sukan kombat sebagai sumber emas paling hampir untuk di realisasikan negara di peringkat Asia.

Wushu, Karate dan Silat jadi pertaruhan, yang secara jelas ia bukan sukan yang mendapat tempat dalam saingan Olimpik.

"Perlu diingat kelebihan sukan subjektif lebih memihak kepada kontinjen tuan rumah, kita tidak akan dapat ruang mudah". Itu reaksi salah seorang lagi bekas Ketua Pengarah MSN yang namanya biarlah rahsia.

Bukan menafikan keupayaan atlet lain, yang juga sebenarnya ada kredibiliti cetak emas kejutan buat negara. Jauh di sudut hati penulis, moga persoalan yang ditimbulkan ini adalah salah.

Ketiga, mana atlet utama yang akan memainkan peranan besar di Olimpik 2020 nanti.

Dengan hanya berbaki dua tahun dari sekarang, Sukan Asia Indonesia sepatutnya jadi platform terbaik untuk nama-nama atlet yang ada potensi hadirkan emas pertama Olimpik cetak prestasi memukau di Sukan Asia.

Sehingga sekarang penulis masih belum jelas atlet mana yang mampu galas cabaran untuk emas pertama Olimpik negara dua tahun dari sekarang.

Lupakan nama nama atlet senior yang sudah terlalu lama kita beri tumpuan, atlet muda jika ada inilah peluang untuk anda tampilkan diri.

Jika benar Program Podium akan dinilai semula sebaik tamat saingan Sukan Asia awal September depan, penulis mengharapkan kemunculan nama-nama baru selepas ini akan beri gambaran lebih jelas untuk MSN mahupun ISN lebih jitu dalam pemilihan atlet yang benar-benar miliki kriteria elit di Tokyo nanti.

Cakap kosong tiada guna. Semoga berada dilandasan yang benar. 

Advertisement

Must Watch Video