Skip to main content

Rencana

Falsafah Jerman mula sebati di Selangor?

selangor-training.jpg
Pemangku jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner tampak sudah mula memberi nafas baru buat skuad Merah Kuning selepas kejayaan pasukan itu merakam kemenangan 7-0 ke atas PDRM dalam saingan Liga Super minggu lalu.

Ya, ia sekadar aksi berdepan pasukan tercorot liga dan peluang memperbaiki pencapaian musim lalu di tangga ketiga Liga Super gagal diraih. Tetapi penulis melihat sesuatu yang positif daripada kesebelasan utama dan aksi keseluruhan pasukan dalam perlawanan itu.

Sebelum ini, penulis akui sedikit skeptikal dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memecat B.Satiananthan selaku pengendali pasukan dan meletakkan Feichtenbeiner yang juga Pengarah Teknikal FAS selaku pemangku ketua jurulatih kerana keputusan dibuat di hujung musim.

Tetapi dengan tempoh waktu singkat dengan skuad utama Selangor, penulis lihat sudah ada perbezaan dengan cara bekas juara Piala Malaysia 33 kali itu bermain di bawah kendalian Feichtebeiner.

Feichtenbeiner sebelum ini menggelar falsafah bola sepaknya 'Transition Footbal' yang menuntut pemain di posisi menyerang untuk melakukan tekanan awal, membantu benteng dan juga berlari dengan banyak.

Penulis pula melihat pengendali kelahiran Jerman itu seakan mahu menerapkan corak dan gaya permainan seperti Liverpool yang mengamalkan pendekatan 'Gegenpressing' di bawah Jurgen Klopp.

Pemain sayap, Sean Selvaraj tampak serasi dengan pendekatan Feichtenbeiner apabila cemerlang meraih dua gol dan melakukan satu bantuan gol ketika berdepan PDRM.

Gandingan Safuwan Baharuddin- Rodney Calvin di bahagian bek tengah juga tampak kental dalam mematahkan segala ancaman lawan dan tenang mengawal tempo permainan.

Di bahagian tengah, Brendan Gan, Halim Saari dan Sandro Da Silva tampak berfungsi dengan baik manakala gandingan Sean, Mukhairi Ajmal dan Ifedayo Olesegun tampak efektif di bahagian serangan.

Apa pun, masih terlalu awal membuat penilaian terhadap perubahan yang dilakukan Feichtenbeiner dan ia memerlukan sedikit masa buat pemain untuk benar-benar menyesuaikan diri dengan pendekatan jurulatih kelahiran Stuttgart itu.

Difahamkan, Feichtenbeiner kini juga sedang menilai kemampuan setiap pemain dalam skuad Selangor dan akan menentukan sama ada mereka sesuai atau tidak bermain mengikut percaturan taktikalnya musim depan.

FAS sebelum ini menegaskan tugas utama Feichtenbeiner adalah sebagai pengarah teknikal dan juga pengendali Selangor II namun, jurulatih import baru yang akan dibawa pengurusan Selangor untuk musim depan bakal menggunakan pendekatan taktikal yang sama.

Jadi barisan pemain Selangor kini perlu segera membuktikan mereka mampu bermain dengan taktikal yang diterapkan jika mahu kekal dalam perancangan musim depan.

Kebiasaannya prestasi Selangor akan memuncak dalam saingan Piala Malaysia dan mana tahu, mungkin saingan musim ini akan menyaksikan 'magis gergasi merah' melangkah jauh dengan taktikal baru Feichtenbeiner.

Penulis berharap para peminat Selangor mampu bersabar untuk melihat pasukan mereka kembali ampuh kerana perlu ingat, falsafah dan taktikal baru yang ingin diterapkan memerlukan sedikit masa.

Advertisement

Must Watch Video