Skip to main content

Rencana

Fair play buat Malaysia

ragbi-malaysia_3.jpg
Kalau dalam bola sepak, kita ada Anugerah Fair Play – satu pengiktirafan buat pasukan yang cuba mencapai keputusan dengan aksi bersih.

Dan kalau anugerah ini diadakan, Malaysia mungkin calon utamanya dalam temasya KL2017 ini.

Dua kejadian yang berlaku semalam menyaksikan Malaysia terpaksa beralah dengan keputusan pengadil atau juri biarpun pahit untuk ditelan.

Atlet karate, S. Prem Kumar, terlepas slot final kumite bawah 55kg apabila kemenangannya dibatalkan sejurus pencabarnya dari Filipina, John Paul Begar, melakukan protes dalam pertembungan separuh akhir itu.

Ketua juri, Javier Escalante dari Sweden, menerangkan Prem Kumar terlebih dahulu melakukan empat kesalahan semasa bertarung.

Oleh itu, kemenangannya dibatalkan dan dia tersingkir.

Nasib hampir serupa dialami gimnas wanita negara, Tan Ing Yueh.

Kejayaan emasnya dalam acara melombol ditarik dan dia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak hanya gara-gara kesilapan daripada pengiraan mata pengadil.

Ing Yueh menerimanya dengan hati terbuka dan pengurus pasukan gimnastik negara, Azmi Hassan, mengakui kaliber keputusan pengadil.

Ini bukan kali pertama kontinjen negara menghadapi hal yang serupa.

Skuad ragbi 7s lelaki negara pada suatu ketika dalam kedudukan genting gara-gara kesilapan pengadil  tetapi pihak lawan tidak dikenakan sebarang penalti.

Di peringkat round robin pasukan negara bertemu Thailand, aksi babak kedua itu terpaksa dihentikan pada pertengahan permainan selepas berlaku sedikit kekeliruan.

Pengadil menyedari terdapat lapan pemain Thailand berada di atas padang ketika lontaran sedang dilakukan.

Skuad bimbingan Mohd Saizul Hafifi Md Noor itu tumpas 12-7 sehingga melengahkan peluang mereka untuk mengesahkan tempat ke final dengan berbaki satu perlawanan serta mengharapkan keputusan perlawanan membabitkan pasukan lain.

Apapun, skuad ragbi 7s lelaki negara tetap fokus dengan misi pemburuan emas sebelum merakamkan kejayaan menundukkan Singapura 22-7 dalam aksi final.

Dalam menjayakan aspirasi meraih 111 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan, eloklah Malaysia menang secara adil.

Jangan kita lupa tentang matlamat temasya yang diwujudkan sejak 1959 ini.

Idea penubuhan temasya yang dikenali sebagai Sukan SEAP ini tercetus hasil perpaduan idea enam negara susulan kemeriahan Sukan Asia Ketiga di Tokyo.

Kredit Imej: MASOC Media 

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
 

Advertisement

Must Watch Video