Skip to main content

Rencana

Erti Olimpik

mirnawan.jpg

100 hari menjelang Sukan Olimpik Rio 2016 ini membuatkan saya mengimbas kembali nostalgia tiga Sukan Olimpik yang saya sertai pada tahun 1992 di Barcelona, 1996 Atlanta dan 2000 di Sydney, Australia.

Sukan Olimpik begitu sangat bererti buat saya. Mananya tidak, semasa saya di Tingkatan 4 saya tersepit diantara bolasepak dan hoki bagi mewakili pasukan Wilayah Persekutuan (WP) bawah 18 tahun Majlis Sukan-Sukan Malaysia. Di mana kejohanan ini berjalan pada masa yang sama. Saya harus buat keputusan mewakili WP dalam bolasepak atau hoki.

Di persimpangan ini saya bertanya kepada diri saya apakah yang saya inginkan, cita-cita dan matlamat saya dalam bidang sukan.

Di sekolah rendah saya mewakili sekolah dalam sukan bolasepak, hoki, renang, badminton, ping pong dan sepak takraw. Mewakili Melaka B12 dalam tiga sukan iaitu Renang, Hoki dan Bolasepak.

Diteruskan di Maktab Tentera DiRaja di peringkat menengah tetapi saya lebih tumpukan kepada bolasepak dan hoki.

Alhamdulillah jawapan yang saya tercari-cari menjelma akhirnya.

Matlamat dan cita-cita saya adalah mewakili pasukan negara di peringkat tertinggi iaitu Sukan Olimpik. Hoki menjadi pilihan saya setelah melihat dari semua sudut terutamanya potensi ke Sukan Olimpik.

Sukan Olimpik adalah temasya sukan terbesar dan terulung di dunia (kecuali bolasepak iaitu Piala Dunia).

Selain pentas yang begitu gah, suasana temasya sukan ini amat unik tidak boleh di ungkap dengan kata-kata. Atlet-atlet kita harus mengalami pengalaman ini sendiri untuk mengetahui apa yang saya cuba perkatakan.

Bak kata pepatah Inggeris pengalaman ini "Money Cannot Buy".

Sebanyak 14 atlet telah melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik iaitu Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Wendy Ng Yan Yee, Ooi Tze Liang dan Nur Dhabitah Sabri (terjun); Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa (berbasikal); Jonathan Wong (menembak); Welson Sim (renang); Khairul Anuar Mohamad (memanah), Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin (pelayaran) serta yang terbaru atlet angkat berat negara Hafifi Mansor.

Tahniah saya ucapkan kepada yang sudah layak. Saya pasti akan ada lagi atlet kita yang akan layak selepas ini. 

Selepas ini dari masa ke semasa saya akan menulis sedikit sebanyak pengalaman saya tentang penglibatan saya di tiga temasya Sukan Olimpik.

Salam dari seorang Olympian! 

Advertisement

Must Watch Video