Skip to main content

Rencana

Enigma bernama Thomas Tuchel (bhg 2)

21517thomastuchel.jpg
Rundingan Thomas Tuchel dengan hierarki kelab Borussia Dortmund untuk penyambungan kontraknya hanya mengambil masa sepantas 21 minit sebelum pengurus itu mengambil keputusan untuk angkat kaki ketika kontraknya masih berbaki setahun lagi.

Ia disusuli satu kenyataan kelab yang berbunyi: “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Thomas Tuchel dan pasukan kejurulatihannya di atas kerja-kerja mereka di BVB yang membawa kepada kejayaan meraih Piala DFB ke atas Eintracht Frankfurt di Berlin.



“Kami juga ingin mengucapkan selamat berjaya kepada Thomas dalam kariernya. Sebagai majikan, Borussia Dortmund tidak akan mendedahkan sebab-sebab terlerainya ikatan ini yang mendapat sokongan seluruh ahli lembaga kelab.”

Namun, apapun yang ingin dipertahankan oleh hierarki kelab, pemain-pemain pula berdiri teguh di belakang Tuchel, dengan Ousmane Dembele dan Christian Pulisic menyatakan sokongan secara terbuka terhadap jurulatih berusia 43 tahun itu dalam beberapa siri temubual.

“Saya benar-benar kecewa kerana Thomas seorang jurulatih yang meletakkan banyak kepercayaan kepada saya. Dia seorang jurulatih yang bagus dan saya memiliki beberapa detik terbaik dengannya,” kata Dembele.

“Saya sangat terhutang budi dengan segala yang Tuchel lakukan untuk saya,” kata pemain antarabangsa Amerika Syarikat, Pulisic. “Dia sentiasa percayakan saya dan memberi saya peluang. Adalah sukar apabila seorang jurulatih meninggalkan pasukan dengan cara ini, terutama selepas satu musim yang cemerlang.”

Kedua-duanya turut mempertahankan pendirian Tuchel bahawa mereka dipaksa bermain menentang Monaco dalam perlawanan kedua suku akhir Liga Juara-Juara, kurang 24 jam selepas bas pasukan mengalami serangan tiga letupan bom.

“Kami dipaksa bermain dan jelas ia bukan datangnya daripada Tuchel,” kata Dembele, yang merujuk kepada persetujuan ketua eksekutif kelab, Hans-Joachim Watzke, kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) tanpa pasukan diajak berunding.

“Pada hari-hari selepas perlawanan itu, saya hanya gembira kerana masih hidup. Suasana dalam bas ketika kejadian itu amat menakutkan tapi keesokannya lebih teruk. Tiada siapa yang berada dalam kedudukan minda untuk bermain.

“Kami berbincang sesama sendiri dan ramai antara kami yang enggan bermain, malah keseluruhan kami. Tapi kami tidak dapat melakukan apa-apa terhadap keputusan itu. Kami dipaksa bermain perlawanan itu (oleh Watzke).”

Tuchel turut melonjakkan imejnya dengan mempertahankan pemain-pemainnya yang tidak haruis dikerah meneruskan perlawanan itu sambil menyelar UEFA di atas keputusan mereka.

Apapun, keputusan sudah dibuat dan Tuchel enggan menoleh ke belakang lagi.

Cuma, kerugian buat Dortmund kini bakal menjadi keuntungan buat sebuah pasukan lain – dan ia bukannya Bayer Leverkusen seperti disahkan oleh ejen pengurus itu.

Pada ketika keputusan dibuat Dortmund ke atas Tuchel, bekas pengurus yang digantikannya, Jurgen Klopp, pula menyokong pendirian ierarki kelab itu.

“Selagi Aki Watzke dan Michael Zorc kekal berkuasa di Dortmund, tiada siapa yang harus bimbangkan kelab itu,” kata pengurus Liverpool itu.

Mungkin apa yang tidak diketahui oleh Klopp ialah kedua-duanya bakal bertembung andai Southampton mengambil Tuchel bagi menggantikan Claude Puel untuk musim depan.


 

Advertisement

Must Watch Video