Skip to main content

Rencana

"Dream Big" Anak Muda

61117malaysiab19.jpg
Indahnya bola sepak, peluang kedua sentiasa terbuka buat pasukan yang benar-benar dambakan kesinambungan dalam perjuangan mereka.

Malaysia serta-merta menarik nafas lega sebaik Arab Saudi menewaskan Yemen yang membawa erti kekalahan skuad Bojan Hodak kepada Korea Selatan bukanlah penamat perjalanan mereka pada kempen kelayakan kejohanan AFC B19 kali ini.

Biarkan debaran menanti saat akhir untuk mengisi slot selaku pasukan kelima naib juara terbaik di pusingan kelayakan ini menjadi pengajaran berguna buat rata-rata pemain yang mentah ini kerana di kejohanan yang bakal mewarnai 5 bandar Indonesia itu nanti pastinya lebih hebat dengan penyertaan 16 pasukan.

Sambil menantikan apakah gambaran perjalanan yang setakat ini meletakkan Malaysia di balang yang sama dengan Taiwan, Korea Utara dan Jordan, Bojan Hodak mempunyai tempoh masa kira-kira setahun untuk melakukan penambahbaikan pada pasukannya kerana pusingan akhir nanti berlangsung pada 18 Oktober hingga 4 November 2018.

Pertemuan dengan Korea Selatan di Stadium Paju pada Rabu memberi situasi jelas tentang kelemahan skuad muda negara yang diakui sendiri Bojan Hodak, agak "kerdil" berbanding Korea Selatan yang sudah pun dipersiap mental dan fizikal mereka untuk beraksi di kempen ini sejak 10 tahun lalu, iaitu ketika usia mereka sekitar tujuh hingga sembilan tahun sahaja.

Kekuatan Malaysia tetap ada kerana pemain negara seperti Hadi Fayyadh juga berjaya menghadirkan debar kepada kubu Korea Selatan yang tampak meyakinkan. Cuma suasana ini mungkin perlu lebih kerap dihadirkan untuk mencipta gerun pasukan lawan sebagai perang psikologi di atas padang.

Ini penampilan ke-23 Malaysia di kejohanan ini dengan sekali lagi harapan tetap berbunga untuk menyaksikan pencapaian terbaik selaku naib juara pada 1959, 1960 dan 1968 kembali berulang.  

Tidak keterlaluan juga sekiranya mereka mengimpikan kemaraan ke Piala Dunia B-20 yang dijangka berlangsung di India, Kenya atau Poland. Misinya, hanya tampil sebagai empat pasukan terbaik yang bermakna perlu mara ke separuh akhir untuk slot automatik, sekaligus mengulangi sejarah kemaraan ke Piala Dunia yang kali pertama dilakar pada 1997.

Kredit foto: Facebook FAMalaysiaOfficial

Advertisement

Must Watch Video