Skip to main content

Rencana

Dipersenda, Mourinho dipecat jua akhirnya

mouro1.jpg
Apabila seorang pengurus menjadi bahan dipersenda, lazimnya jarang dia akan kekal lama – itulah hakikat pahit yang perlu ditelan Jose Mourinho.

Dipecat hari ini -- kurang 48 jam selepas tunduk 1-3 kepada Liverpool di Anfield kelmarin – Mourinho harus sudah dapat mengagak apa yang bakal menimpanya.

Ia seakan-akan putaran roda nasib yang lambat-laun yang akan menghambat seseorang pengurus dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) andai dirinya sudah mula dipersendakan penyokong lawan, apatah lagi penyokong pasukan sendiri.

Seperti yang diutarakan espn.co.uk, apabila penyokong Arsenal mula menyanyikan “kami mahukan anda kekal“ buat Arsene Wenger menjelang penghujung musim lalu, kita semua tahu apakah kesudahannya.

Mourinho bukannya tidak tahu perkara itu, cuma dia buat-buat tak tahu dan cuba memekakkan telinganya dalam penafian yang tidak pun mampu dilanjutkannya.

Menjelang penamat pertemuan dengan Liverpool, Ahad lalu, penyokong Liverpool di Anfield menyanyikan buatnya: “Jangan pecat Mourinho!"

Jauh daripada menjadi halwa telinga buatnya, ‘The Special One’ seperti dia menggelar dirinya sendiri, Mourinho sudahpun meniti liku-liku yang sama dengan Wenger – pengurus yang dipersendakannya sebelum ini sebagai “pakar kegagalan”.

Kini, Mourinho tidak pun berbeza dengan sebaliknya diingati sebagai seorang pengurus yang paling banyak beralasan.

Penyokong Liverpool mempersendakan Mourinho bukan hanya kerana pasukan tuan rumah bimbingan Jurgen Klopp itu jauh lebih baik dari segenap segi, tapi pada masa yang sama seakan-akan tidak dapat mempercayai betapa teruknya Manchester United akhir-akhir ini.

Ketika siaran langsung perlawanan tumpuan itu, kamera televisyen beberapa kali menunjukkan Naib Pengerusi United, Ed Woodward, berkata sesuatu kepada legenda kelab, Sir Bobby Charlton.

Harus tiada siapa dapat mengulangi apa yang dituturkannya tapi harus tidak silap untuk mengandaikan butir bicaranya berkisar kepada betapa masa Mourinho selaku pengurus United sejak dua setengah tahun yang lalu, sudah sampai ke penghujungnya.

Selepas kekalahan mengaibkan di Anfield itu – bukan jurang golnya tapi aksi United yang seakan-akan diperbudak-budakkan – The Red Devils ketinggalan 19 mata kepada Liverpool di tangga teratas dan 11 mata terpisah daripada kelompok empat teratas.

Selepas 17 perlawanan EPL, United telah bolos 29 gol – lebih satu gol daripada jumlah mereka bolos sepanjang keseluruhan musim 2017-18.

Jadual yang menanti menentang Cardiff, Huddersfield, Bournemouth dan Newcastle sepanjang musim Krismas harus menawarkan perubahan nasib buat United.

Sambil satu-satunya pilihan United -- kini di tangga keenam liga dengan 26 mata – adalah untuk meningkat, pilihan yang tinggal buat Mourinho pula adalah untuk keluar atau dipecat.

Advertisement

Must Watch Video