Skip to main content

Rencana

Diari LTdL 2019 : Nasi lemak yang berjasa!

nasilemak-01.jpeg
Nasi lemak merupakan subjek yang penting buat kita. 

Nasi lemak asalnya dijadikan santapan berat buat orang-orang terdahulu sebelum turun membanting tulang empat kerat, kini berubah menjadi identiti bangsa Malaysia secara tidak rasmi. 

Ia menjadi satu perkara utama dalam agenda negara, dari perihal nasi lemak dijadikan tema baju untuk Miss Universe Malaysia pada 2017, membawa ke kisah perdebatan antara Malaysia dan Singapura mengenai siapa yang mencipta juadah ini, serta jangan dilupakan, kerana nasi lemaklah, rakyat Malaysia menunjukkan rasa patriotik mempertahankan Zaleha Kadir Olpin yang menghidangkan juadah ini kepada juri British yang dakwa nasi lemak yang dihidangkan dengan rendang ayam sepatutnya "ranggup".


Hariff Salleh pula lakar sejarah membanggakan buat Malaysia apabila menjadi warga tempatan kedua memenangi salah satu peringkat dalam saingan Le Tour de Langkawi, selepas kali terakhir adalah sembilan tahun lalu, menerusi Annuar Manan pada 2010, ketika laluan peringkat kelima dari Muar ke Port Dickson. 

Ironinya kedua-dua pelumba ini mewakili pasukan tempatan, Terengganu Cycling (TSG).


Saya secara peribadi kagum ketika melihat Hariff melintasi penamat sebagai juara. Yang pertama, kerana dia berjaya atasi "Mr Langkawi", Andrea Guardini, yang begitu sinonim memenangi banyak peringkat dalam saingan Ltdl sebelum ini, tinggal pihak penganjur tidak letak namanya sahaja dalam saingan ini sebagai tanda penghargaan. Yang kedua, Hariff mengangkat kedua tangannya ketika melintasi garisan penamat, percayalah aksi itu memerlukan kepakaran yang tinggi.


Jadi apa kaitan nasi lemak dengan Hariff Salleh angkat tangan dari basikalnya?


Semasa sidang media, saya menanyakan soalan klise, apa rahsia dan pantang larang kejayaan Hariff, syukur kepada Illahi dia tidak menjawab hasil pengunaan mana-mana produk yang tidak diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebaliknya dalam loghat Terengganu pekat Hariff membalas,

" Pagi tadi saye bahang nasi lemok je, telor, sambal, ikan bilis" 


" Pasal perlumbaang kite jauh, dua ratus kilo, memang kite guna tenaga sebanyok mungking, kite tokleh ikut macang stail Itali, negare diorang memang doh makan pasta dengan spagheti, kite tokleh ikut gitu, macang saye makan nasi lemok aa" ulas Hariff panjang lebar.

Mengikut diet pemakanan yang disarankan, seorang pelumba berbasikal profesional perlu makan 6000 hingga 7000 kalori untuk setiap perlumbaan, sambil mereka akan membakar 10 hingga 15 kalori setiap minit ketika saingan berlangsung. Sepinggan nasi lemak dianggarkan punyai 500 hingga 700 kalori. Jadi anda boleh congak berapa banyak pinggan yang Hariff dan rakan-rakan pelumba lain jamah untuk dapatkan tenaga berkayuh.

" kita kena makang ngang-ngang, jangang kite lumbe sejang, makang nasi due pinggang, memang dok gerok la, nok makang, makang puah puah, masa tengoh race tokleh makang nasi lemok doh", seloroh Hariff dalam sidang media itu.


" Contoh macang perlumbaang jauh gini, kite kena makang banyok, pasal dia bantu kite beri tenaga, tapi kite kena makang awal, tiga jam sebelum, jangan lagi sepuluh minit lagi nok race baru nok makan, muntoh hijau kang", tambah Hariff lagi.


Sekali imbas nampak kelakar, tapi jika diamati pesanan Hariff itu, ternyata rasionalnya itu ada. Tapi janganlah pula kita jadi lurus, Hariff seorang atlit, sering bersenam kerana tugasan haikiki, kita ini pula nak buat lompat bintang pun payah, jangan sebab atlit buka rahsia kejayaan makan nasi lemak untuk berjaya, kita tiru bulat-bulat.

Advertisement

Must Watch Video