Skip to main content

Rencana

Diari LTdL 2019: Hantu Genting Highlands!

genting-highlands.jpg
Apa yang anda fikirkan apabila timbul nama tempat Genting Highlands?

Ada yang cepat mengaitkannya dengan taman tema yang mengujakan, tidak lain menganggapnya sebagai tempat percutian ideal untuk keluarga yang mahu rasai cuaca sejuk, tidak kurang ada yang fikir itu lokasi “jana duit”, kalau anda faham maksud saya.

Lokasi Genting Highlands kembali selepas empat edisi sebelum ini ia tidak disenaraikan dalam kalendar Le Tour de Langkawi. Ternyata ia masih ada aura tersendiri, biarpun sebelum ini saudaranya, Cameron Highlands, digantikan sebagai faktor menarik pendakian untuk para pelumba. 

Genting Highlands mempunyai status pendakian berkelas Hors oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI),  selain memerlukan kudrat kaki yang kuat, seseorang pelumba juga memerlukan ketahanan mental yang tinggi. Jika situasi itu diletakkan kepada orang biasa seperti saya, baru 5km mendaki, pasti saya akan bermonolog dan bermuhasabah diri, "adakah ini yang saya mahukan dalam hidup?"

Sebut mengenai Genting, tidak lari daripada membincangkan topik paranormal. Untuk skala yang lebih besar, dalam radius kawasan itu, pelbagai kisah diperdengarkan masyarakat, ada yang mendakwa kereta yang dipandu waktu malam secara tiba-tiba terasa berat, ternampak lembaga beraneka rupa, dan ada juga cerita kawasan sekitar Bentong, melihat sebuah kereta Volkswagen kuning meluncur di jalan raya pada tengah malam tanpa pemandu. 

Dan sebagai seorang yang percaya kepada ilmu sains lebih daripada ghaib, saya berpegang kepada firasat ia merupakan eksperimen kejuruteraan Jerman untuk terokai teknologi baru yang digelar 'Artificial Intelligence'.

Ketika pelumba mendaki menuju ke puncak Genting pada Selasa, lebih spesifik di Tokong Chin Swee, orang ramai mula berdiri di sepanjang jalan, bersorak menantikan para pelumba berkayuh menaiki puncak. 

Di situ terdapat beberapa individu berpakaian kostum hantu, cuba membuat “psikologi undur” kepada para pelumba. Logiknya apabila orang takut kepada hantu, maka mereka akan kayuh lebih laju. Namun, ia sebenarnya menjengkelkan kerana ada sesetengahnya begitu rapat dengan pelumba dan boleh mengganggu fokus. 

Harus diingat, jika mereka terganggu dan berhenti ketika mendaki, untuk mencari rentak kayuhan naik ke atas akan menjadi lebih sukar. 

Oh, dan dengar cerita, ada juga media yang “dikacau", cuma gangguan ini bukan daripada penonton yang memakai kostum hantu, yang ini adalah yang original. Benarlah kata orang, Genting banyak hantu!

Advertisement

Must Watch Video