Skip to main content

Rencana

Datuk Lee Chong Wei belum boleh diperlekeh

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

9417chongwei.jpg
Di sebalik debaran menanti detik bermulanya temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur yang kembali selepas 16 tahun, arena sukan masih memberi tumpuan kepada perjuangan atlit bertaraf bintang di pentas dunia.

Mungkin menjadi peluang terakhir untuk beliau merebut gelaran juara dunia yang belum pernah diraih, Datuk Lee Chong Wei bakal bertarung di kejohanan dunia yang berlangsung di Glasgow, Scotland sehari sebelum acara badminton membuka tirai di Axiata Arena.

Jelas masing-masing punya rencana tersendiri dalam mengabadikan hari kebangsaan ke-60 yang tiba pada 31 Ogos nanti. Namun tiada siapa dapat menyangkal kesungguhan yang ditunjukkan Datuk Lee Chong Wei dalam melaksanakan tugas, mahu pun cita-cita.

Pada usia 35 tahun, rata-rata menganggap terlalu banyak kekangan yang dapat menghalang Datuk Lee Chong Wei dalam menggapai impian terakhirnya, walaupun sepanjang tahun 2017 ini, kita disajikan pencapaian luar biasa atlit negara yang bersaing di pentas dunia. 

Baru-baru ini, pemegang 8 pingat emas sukan olimpik, Usain Bolt yang berada di penghujung kerjaya gagal mencetak penamat gemilang pada aksi terakhirnya dalam acara yang melonjakkan namanya di segenap pelosok dunia, 100 meter. 

Memperlihatkan hasrat Bolt yang tidak terlunas, mungkin ia sedikit sebanyak mempengaruhi pemerhati sukan agar bersikap lebih realistik. Berdasarkan undian, Datuk Lee Chong Wei jelas perlu bersedia 200% kali ini apabila di jadual bertemu pemusnah hasrat di Olimpik dan kejohanan dunia sebelum ini, Chen Long di suku akhir. Jika berjaya melepasi halangan ini, satu lagi tembok China iaitu musuh tradisinya, Lin Dan menanti di Final.

Kembalinya Datuk Misbun Sidek mungkin memperkemaskan lagi persiapan Datuk Lee Chong Wei untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai. Namun dalam temubualnya bersama wartawan media cetak berbahasa mandarin awal tahun lalu, dia menegaskan isu doping yang merencatkan graf pertumbuhan kerjayanya yang ketika itu merekodkan peningkatan yang memberangsangkan bukanlah waktu paling sukar dalam kerjayanya. Atas sebab itu, dia bangkit untuk kembali menjadi yang terbaik. 

Apa yang merisaukan anak kelahiran Pulau Pinang ini adalah faktor kecergasan dan bebas daripada sebarang kecederaan. Datuk Lee Chong Wei masih ingat betapa sukar dan sengasaranya dia tidak mampu melakukan apa-apa akibat cedera. Tahun 2012 dilabel sebagai detik hitam di mana kecederaan pada kaki menyaksikan dia hampir tewas kepada pemain tidak ternama dari Finland dan bukan itu sahaja, dia hampir putus asa dan tidak nampak jalan bagaimana untuk sampai ke Olimpik 2016.

Detik sukar turut dialami atlit handalan dunia lain, lebih-lebih lagi mereka yang sudah digelar veteran menerusi tiket usia yang mencecah 30 tahun. Tidak terkecuali legenda Britain, Mo Farah yang membuktikan semangat juang lebih penting dalam merealisasikan hasrat. Dua kali dia hampir tersungkur sebelum boleh meraih pingat emas dalam acara 10,000 meter yang berlangsung di Stadium London. Sedikit pun tidak diendahkan kecederaan yang dialami kerana fokus yang terus mantap untuk menawan acara 5,000 meter pula.

Inilah kualiti yang ada pada sang juara sebenar, pantang berundur sebelum melawan, agar jika tewas nanti biarlah dengan bermaruah. Jika penghujung Ogos nanti, kita dapat sekali lagi menyaksikan pertembungan epik diantara Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan, harapan saya biarlah ia mempamerkan kualiti terbaik Datuk Lee Chong Wei yang sering diperlekehkan media China. Biar mereka hadam Datuk Lee Chong Wei ini permata yang tiada galang gantinya. Biarkan perseteruan Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan terpahat sebagai antara yang teragung dalam lipatan sejarah badminton dunia.

Advertisement

Must Watch Video