Skip to main content

Rencana

Dari Pluto menerjah jaring lawan

47365186_1930273107069444_5506955810791489536_o_1.jpg
Kemarau jaringan dalam Piala Suzuki AFF sama sekali tidak menjejaskan tumpuan Safawi Rasid untuk menghadapi aksi pertama perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Memegang status Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2018, Safawi berdepan kecaman hebat dalam kempen sulung kejohanan berkenaan.

Bisa di kaki kidalnya belum lagi menampakkan hasil, apatah lagi penggempur berusia 21 tahun itu memiliki deretan peluang terhidang, khususnya dalam pertemuan dengan Thailand di laman sendiri, Rabu lalu.

Salah satu daripada peluang terbaiknya untuk memecah kebuntuan jaringan berakhir dengan tendangan liar yang diberi jolokan ”tendangan ke planet Pluto”.

Safawi senyum sahaja ketika istilah itu dipetik.

Dia tenang sahaja, sebaliknya menganggap rezekinya belum mahu hadir dengan berkata: "Saya sudah biasa dikecam tetapi apa yang mustahak adalah kejayaan pasukan. 

"Setiap aksi saya akan cuba memberikan yang terbaik demi kejayaan pasukan.

"Saya akan terus mencuba melepaskan rembatan biarpun ia mungkin berakhir ke Pluto lagi."

Safawi, yang sudah membuktikan sentuhan penyudahnya di pentas Sukan Asia 2018 di Indonesia yang lalu -- meledak dua jaringan ketika menjinakkan Korea Selatan 2-0 -- gemar melakukan larian dari sebelah sayap kanan sebelum menyusup ke tengah kotak penalti lawan dan melepaskan rembatan.

"Saya bukannya sengaja mahu tendang ke Pluto, malah saya banyak meledakkan jaringan melalui gerakan seperti itu.

"Ketumpulan dalam perlawanan sebelum ini menjadi pemangkin buat saya untuk terus memperkemaskan sentuhan penyudah," tambahnya.

Ketika bertemu Thailand dalam aksi separuh akhir pertama, Malaysia mempamerkan aksi bertenaga tetapi gagal di depan gawang lawan.

Ia senario yang berbeza ketika Harimau Malaya membenam Myanmar 3-0, 24 November lalu. 

Dua daripada gol itu didorong faktor nasib juga, lebih-lebih lagi gol ketiga oleh Zaquan Adha Abdul Radzak.

Bola yang cuba dikeluarkan oleh pertahanan Myanmar singgah di kepalanya sebelum melantun menerjah jaring.

Selain keberkesanan taktikal Tan Cheng Hoe dan semangat juang tinggi barisan pemain Malaysia, nasib juga diharapkan akan terus mengiringi Malaysia, sebagaimana skrip di penghujung perlawanan di Stadium Rajamangala yang lalu.

Advertisement

Must Watch Video