Skip to main content

Rencana

Dari kasino ke juara dunia

momota-2.jpg
Kento Momota juara dunia 2018.

Pemain kacak 23 tahun itu muncul pemain lelaki pertama Jepun merangkul piala paling berprestij dalam arena badminton. 

Dalam aksi final, Kento mengecewakan penyokong tuan rumah di Youth Olympic Sports Park Arena setelah menunjukkan permainan hampir sempurna mengalahkan pemain muda yang dijangka menggantikan legasi Lin Dan dan Chen Long, iaitu Shi Yuqi, 21-11, 21-13.

Akibat berjudi di kasino haram, bekas pemain nombor dua dunia dari Kagawa itu digantung setahun pada April 2016 oleh Persatuan Badminton Nippon.

Budaya Jepun yang mengutamakan displin tidak teragak-agak untuk menghukum Kento walaupun dilihat sebagai prospek rangkul pingat emas Sukan Olimpik Brazil tahun itu. 

Dikecam dan malu di atas perbuatan kutuk itu, Kento mengalami kemurungan. 

Namun, cinta kepada sukan badminton membantunya keluar dari peristiwa gelap itu dan kembali dengan lebih bersemangat.

Ranking dunia juara remaja dunia 2012 itu jatuh ke-250 pada April 2017. 

Dia terpaksa bermain dalam kejohanan lebih kecil untuk menaikkan ranking bagi layak ke kejohanan tahap lebih berprestij.

Masuk tahun 2018, dengan kerja keras dan disiplin, Kento menjuarai Kejohanan Asia juga berjaya menumpaskan para pemain disegani dunia seperti Lee Chong Wei, Viktor Axelsen, Chen Long dan K. Srikanth.

“Saya bodoh dan kurang matang pergi ke kasino. Saya menangis dan tekad untuk berubah supaya impian jadi juara dunia akan tercapai,” Kento merenung kembali peristiwa paling pahit dalam hidupnya.

Pengajaran berharga itu membawa pemain nombor tujuh dunia, Kento Momota, mencapai sasaran muncul juara dunia. 

Misi Kento seterusnya mengejar ranking nombor satu dunia dan pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 pasti tidak mustahil. 


 

Advertisement

Must Watch Video