Skip to main content

Rencana

Cukup ke sekadar minta maaf?

skuad-terjun.jpg
Sebaik sahaja skuad terjun negara melangkah masuk ke bilik sidang media Khamis lalu, pihak media sudah menjangkakan mereka bakal melakukan permohonan maaf secara terbuka. 

Saya agak terkesan dengan kata-kata daripada Chew Yiwei yang menyedari kesalahan itu adalah sesuatu yang sangat serius dan meminta maaf sahaja belum cukup untuk padam kehampaan rakyat Malaysia kepada mereka. 

Betul, setiap manusia melakukan kesalahan dan tiada manusia yang sempurna. Ramai yang menghentam mereka selepas melihat video yang memaparkan aksi berfoya-foya dan kelihatan mabuk selepas mengambil minuman beralkohol. Paling menyedihkan apabila ada penerjun yang beragama Islam juga kelihatan dalam video berkenaan. 

Rakyat Malaysia marah, kecewa dan terkesan dengan kelakuan itu kerana ada di antara mereka berada dalam Program Podium dan bukannya sekadar atlet suam-suam kuku untuk bebas melakukan aktiviti yang tidak sepatutnya. 

Apa yang penting, nasi yang sudah menjadi bubur itu haruslah menjadi pengajaran yang sangat berguna untuk atlet sukan lain. Bagi saya, usah ditanya atau dipertikai siapa dalang di sebalik video itu kerana kelakuan dipaparkan dalam video berkenaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. 

Satu tamparan hebat sebenarnya untuk sukan terjun. Kes doping, rogol dan terkini penyebaran video yang memalukan seperti itu pastinya akan menjadi sejarah hitam yang akan diingati oleh peminat sukan tanah air terhadap sukan ini. 

Kita maafkan mereka, tetapi saya percaya hukuman yang sewajarnya juga perlu diberi. 

Kuatkan semangat skuad terjun negara!

Advertisement

Must Watch Video