Skip to main content

Rencana

CR7-RMCF: Retak menanti belah (bhg 2)

zidane-ronaldo.jpg
Cristiano Ronaldo membayangkan tiada jalan kembali buatnya ke Estadio Santiago Bernabeu dengan hatinya yang semakin luluh.

Khabar bahawa dia telah memberitahu pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, yang dia dilayani umpama seorang seorang “penjenayah” di Sepanyol menghangatkan lagi spekulasi perpindahannya sambil Ronaldo menamakan musuh utamanya – bukan pihak berkuasa percukaian – tetapi media di negara berkenaan.

CR7 dituduh mengelak cukai bagi hak imej dirinya yang berjumlah £13 juta (RM71.2 juta) yang dikatakan mendorongnya membuat keputusan muktamad untuk meninggalkan ibu kota Sepanyol itu – tempatnya mencari makan sepanjang lapan tahun lalu – pada musim panas ini.

Akhbar-akhbar Sepanyol melaporkan Zidane telah menghubungi penyerang kesayangannya itu hujung minggu lalu untuk memujuknya agar mengubah pendirian dengan kekal bersama Los Blancos tetapi Radio COPE memetik Ronaldo sebagai memberitahu bosnya itu:

“Di Sepanyol, saya dilayan seperti seorang penjenayah, dan segala-galanya bermula dengan media.”

Bekas penyerang Manchester United itu turut dikhabarkan telah mendesak ejennya, Jorge Mendes, untuk mengikhtiarkan kepulangannya ke Old Trafford, dengan Red Devils dikatakan bersedia melakukan sehabis dayanya untuk menjadikan kemungkinan itu satu realiti.

Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward, diura-urakan sedang merencanakan satu perjanjian bernilai £175 juta (RM953 juta) yang turut membabitkan pertukaran penjaga gol, David De Gea, untuk akhirnya melengkapkan perpindahannya ke Real Madrid.

Ronaldo menyertai United pada 2003 pada usia 18 tahun dan seterusnya menyumbangkan 118 gol dalam 292 penampilan bersama Red Devils dalam tempoh enam tahunnya di bawah pengendalian Alex Ferguson.

Dia meninggalkan Old Trafford dengan yuran perpindahan rekod dunia ketika itu pada 2009 dan melakar sejarah selaku penjaring terbanyak Madrid dengan 406 gol daripada 394 penampilan, yang turut menyaksikan Galacticos bergelar juara berganda – LaLiga dan Liga Juara-Juara Eropah – bagi musim yang baru dilabuhkan tirainya.

Ia adalah trofi Liga Juara-Juara yang ketiga buat Real Madrid Club de Fútbol (RMCF) dalam tempoh empat musim.

Berbalik kepada panggilan telefon terdesak daripada Zidane itu, Ronaldo tahu ia lambat-laun akan diterimanya.

Dari detik dia mengumumkan untuk meninggalkan Real Madrid – satu tindakan protes terhadap apa yang disifatkannya sebagai kurangnya sokongan kelab itu dalam dia berhadapan tuduhan mengelakkan cukai – penyerang Portugal itu sudah pun mempersiapkan hujahnya.

Ia mengambil masa 48 jam untuk panggilan telefon itu akhirnya dibuat, dengan Zidane keluar seketika daripada percutiannya di Itali untuk merayu bagi pihak Los Blancos agar CR7 mengubah pendiriannya.

Ronaldo yang ketika itu sudah menyertai rakan-rakan sepasukan Portugal di hotel penginapan mereka di bandaraya Kazan, Russia untuk kempen mereka dalam Piala Konfederasi, dikhabarkan menjangkakan satu perbualan yang sukar.

Tambahan pula, Zidane menyedari Ronaldo sangat menghormati pengurus RMCF itu -- baik selaku seorang pemain legenda dan pengurus yang disegani – apatah lagi hasil perancangannyalah, pemain berjersi No. 7 itu digilirkan bermain musim ini untuk mengekalkan kecergasan dan ketajamannya di atas padang.

Gara-gara aturan sedemikian juga, bintang Portugal berusia 32 tahun itu menandatangani satu perjanjian baru hanya pada November tahun lalu, yang direncanakan untuk mengekalkan khidmatnya sehingga 2021.

Sambil menelefon Ronaldo dalam nada penuh merayu, Zidane mengungkapkan: “Kita sebuah pasukan yang berjaya adalah kerana anda.”

Cuma, kali ini, ia bukan lagi kata-kata indah untuk didengar Ronaldo.


 

Advertisement

Must Watch Video