Skip to main content

Rencana

China: Pasukan 'Kuda Hitam' Hoki Piala Dunia

china.jpg
Sejak ditubuhkan pada 1981, China akhirnya menamatkan kemarau 37 tahun untuk membuat penampilan pertama di Hoki Piala Dunia.

Mereka hadir ke Bhubaneswar, India selaku pasukan di ranking ke 17 dunia, berada sekumpulan dengan kuasa besar, Australia, England dan juga Ireland.

China bukanlah asing sebagai antara pesaing dalam rantau Asia dengan pencapaian terbaik mereka adalah pingat perak Sukan Asia 2009 selain turut pernah raih gangsa dalam Kejohanan Hoki Piala Asia edisi 1982 dan 2009, namun pencapaian mutakhir ini di pentas antarabangsa kurang memberangsangkan di samping sering dibayangi kehebatan pasukan wanita yang lebih konsisten

Ramai pemerhati merasakan China hanyalah pelengkap pasukan dalam kumpulan B, dan bukanlah pasukan pilihan untuk mara ke pusingan seterusnya. Walaubagaimanapun, perlawanan pertama mereka pada Jumaat, menentang England, China berjaya raih satu mata setelah mengikat pasukan di ranking ketujuh dunia itu 2-2 hasil jaringan Guo Xiao Ping dan Du Talake.

Biarpun China merupakan populasi terbesar dunia dengan jumlah 1.4 Billion manusia, ironinya, dari 34 wilayah yang terdapat di negara tembok besar itu, percayakah anda bahawa keseluruhan 18 pemain adalah berasal dari wilayah “Nei Menggu” atau dikenali sebagai Inner Mongolia, yang terletak di bahagian utara, bersempadan dengan Mongolia dan Rusia.

Mereka diambil beraksi bersama skuad kebangsaan China kerana sudah masak bermain dengan permainan yang mirip dengan sukan hoki iaitu, “Beikou, sukan tradisi kaum Daur yang sudah wujud sejak 1000 tahun dahulu.

Tambah menarik, tulang belakang kepada kebangkitan sukan hoki di China adalah insan bernama Kim Sang Ryul, jurulatih yang pernah membawa Korea Selatan raih pingat perak di Sukan Olimpik Athens 2000, selain turut pernah dikaitkan untuk membimbing skuad Malaysia pada 2012 sebelum Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) ambil keputusan menamakan Paul Revington sebagai jurulatih.

Sekitar 1980-an, Sang Ryul pernah berkelana ke India untuk menuntut ilmu hoki dari legenda Balkrishan Singh, satu-satunya individu yang pernah memenangi emas sukan Olimpik sebagai pemain dan jurulatih ( 1956 Melbourne dan 1980 Moscow).

Skuad hoki lelaki China mungkin tidak sehebat negara lain, namun China berupaya menjadi sebuah pasukan yang membawa kisah dongeng sebuah pasukan kecil yang punyai jiwa besar di pentas Piala Dunia kali ini. 
 

Advertisement

Must Watch Video