Skip to main content

Rencana

Challenge Cup ala-ala Europa League

301217bola.jpg
Saingan Liga Malaysia bakal mencipta kelainan tersendiri apabila Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia FMLLP baru-baru ini mengumumkan satu kejohanan baru akan diperkenalkan untuk musim 2018 iaitu Challenge Cup atau Piala Cabaran diwujudkan kepada pasukan yang tidak layak untuk beraksi dalam Piala Malaysia musim depan.

Ia susulan format Liga M diubah seperti sebelum ini apabila Piala Malaysia kembali diasingkan dengan pertandingan liga selepas dua musim berlangsung seiring bersama. Usaha pentadbir Liga M itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi daripada warga bola sepak tanahair terutama peminat apabila rata-ratanya mengkritik pengenalan piala baru itu.

Ada yang berpendapat kehadiran Challenge Cup sekadar melengkapkan jadual pertandingan tanpa memberi faedah kepada pasukan yang bertanding dan ada juga yang mencadangkan agar Piala Malaysia dibuka kepada semua pasukan berbanding memperkenalkan kejohanan itu.

Sememangnya, FMLLP mempunyai jawapan mengapa dan kenapa mereka mewujudkan Challenge Cup untuk kancah Liga M bermula musim depan.

Bagi penulis, ia udah pasti untuk memastikan tiada pasukan beraksi separuh musim kerana situasi itu mampu mengundang risiko lebih besar terhadap masalah gaji pemain. Bayangkan, pasukan yang tidak layak ke Piala Malaysia jika tiada Challenge Cup, mungkin mereka sekadar menjalani latihan sehingga akhir musim tetapi adakah ia akan berlaku?

Penulis berasakan tidak sekali gus akan menyebabkan majikan mereka tidak membayar baki gaji pemain seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Namun tidak dinafikan, isu gaji pemain tetap berlaku walaupun semua pasukan bermain sepenuh musim dalam tempoh dua tahun sebelum ini, tetapi penulis berasakan ia langkah yang terbaik untuk mengelak permasalahan itu menjadi lebih besar.

Dengan adanya Challenge Cup juga, ia akan menambah bilangan perlawanan kompetitif bagi mereka yang tidak layak ke pertandingan Piala Malaysia, dimana pertandingan ini dilihat sebagai pertandingan sokongan dan bukan untuk bersaing dengan Piala Malaysia.

Sebenarnya, pengenalan piala ini juga mendapat reaksi positif daripada persatuan-persatuan bola sepak negeri dan kelab kerana bagi mereka, pasukan tidak rela membayar gaji buta kepada pemain.

Jadi, kesimpulannya penulis berasakan ia langkah yang baik cuma penulis lebih gemar terhadap format sebelum ini yang ala-ala 'Liga Perdana Inggeris’ di mana saingan liga berjalan seiring dengan piala tertentu dan berakhir di hujung musim. Hanya perlu ada penambahbaikan untuk memastikan perjalanan liga lebih teratur berbanding dua tahun sebelum ini. 

Tapi, Challenge Cup pun menarik juga kerana ia ala-ala Liga Europa di mana pasukan yang berada di kelompok pertengahan saingan liga dan terkandas di Champions League di peringkat tertentu akan beraksi di Liga Europa!

Advertisement

Must Watch Video