RENCANA
Cedera metatarsal, Boy rehat lagi
Danial Amier Norhisham antara pemain skuad bawah 22 tahun negara yang dicanang untuk menyinar dalam kempen Kelayakan AFC Bawah 23 2020 selepas menyerlah dalam Kejohanan AFC Bawah 23 di China, Januari lalu.
Ia juga selepas pemain yang mesra disapa Boy ini mempamer persembahan menyakinkan bersama Felda United dalam kancah Liga Malaysia musim lalu walaupun beberapa kali terpaksa diketepikan ekoran kecederaan.
Namun, nasib Boy kurang baik apabila ditimpa kecederaan pada perlawanan pertama kelayakan menentang Filipina, Jumaat lalu sekaligus menyekat hasratnya untuk membantu skuad negara berdepan Laos dan China.
Iklan
Ini bukan kali pertama dirinya diuji tetapi sudah beberapa kali. Ogos tahun lalu, dia digugurkan daripada skuad ke Sukan Asia Jakarta-Palembang pada saat-saat akhir kerana mengalami kecederaan pangkal paha.
Disember tahun lalu pula, Boy terpaksa dibawa pulang ke tanahari daripada kejohanan Piala Newspaper di Vietnam selepas mengalami demam campak. Itulah nasib Boy yang kini mengalami kecederaan tulang metatarsal.
Ia kecederaan yang sama menimpa bintang sensasi Brazil dan Paris Saint-Germain, Neymar. Pemain itu mengalami kecederaan berkenaan pada awal tahun ini dan sejak daripada itu dia direhatkan selama 10 minggu.
Metatarsal merujuk kepada lima tulang panjang yang terletak di bahagian pertengahan telapak kaki manusia yang saling berkaitan dalam satu unit, dianggap antara kecederaan paling ditakuti oleh setiap pemain selain kecederaan ligamen lutut ACL.
Selain Neymar, pemain ternama dunia yang pernah mengalami kecederaan tersebut antaranya David Beckham pada 2002, Lionel Messi pada 2006 dan Wayne Rooney pada 2006.
Bagi Boy, dia sudah pasti mengharapkan ada hikmah di sebalik nasib malang yang menimpanya. Semoga cepat sembuh Boy.
Must-Watch Video



