Skip to main content

Rencana

Cannavaro tambah garam di luka Itali

italy.jpg
Pertahanan kelab Sassuolo, Paolo Cannavaro, merumuskan kegagalan Itali untuk meraih tiket ke Piala Dunia Russia 2018 harus dipikul oleh pihak yang mengendalikan saingan liga negara itu, Serie A. 
 
Dalam pertembungan play-off kelayakan Piala Dunia dengan Sweden, awal pagi tadi, anak buah Gian Piero Ventura sama sekali tumpul untuk merobek gawang lawan. Sebaliknya, Sweden berjaya mempertahankan gol tunggal hasil pertemuan pertama menerusi Jakob Johansson.
 
Dalam kenyataan yang dipetik daripada akaun Instragram pemain itu hari ini, adik kepada pemenang Piala Dunia edisi 2006, Fabio Cannavaro, itu menempelak sistem Serie A yang terlalu bergantung kepada pemain luar. 
 
Menurutnya: "Kita bukannya tewas dalam perlawanan Piala Dunia hari ini (awal pagi tadi). Kita kalah sejak 15 tahun lalu hasil daripada mereka yang mengejar kemewahan dalam dunia bola sepak. Itali memberi banyak peluang kepada pemain tidak berkualiti dari setiap ceruk dunia sehingga mencuri tempat pemain kita."
 
"Kita telah memberi kejayaan dan kemasyhuran hasil didikan daripada jurulatih-jurulatih Itali yang kekal sebagai yang terbaik di dunia. Saya berharap kita akan terus merudum agar dapat merombak bola sepak kita."
 
Mungkin ada benarnya mutu pemain juara dunia empat kali itu pada era Cesare Prandelli dan Antonio Conte mempunyai pilihan yang lebih terhad berbanding Ventura -- yang juga harus bertanggungjawab kerana gagal merencana formasi dan gabungan pemain.
 
Namun, kenyataan pedas Cannavaro itu mungkin ada asasnya selepas Itali gagal menghasilkan barisan hadapan yang digeruni sebagaimana era Roberto Baggio, Christian Vieri, Francesco Totti, Alessandro Del Piero mahupun Filippo Inzaghi, misalnya. 
 
Reputasi mereka ini sudah cukup menghadirkan gerun terhadap mereka menerusi kehebatan di kelab mereka. 
 
Ciro Immobile, Stephan El Shaarawy dan Andrea Belotti adalah antara nama-nama yang dicanang antara sengat terbaik ketika ini, namun mereka masih gagal menampilkan sentuhan konsisten di pentas besar. 
 
Malah, hanya Juventus yang mendukung aspirasi di pentas Eropah dan kini Serie A menikmati hasil itu apabila pada musim akan datang, mereka akan meraih empat slot dalam Liga Juara-Juara. 
 
Maka, tidak hairanlah Cannavaro menuntut kelab Serie A agar lebih berani mengetengahkan bakat-bakat muda. 
 
"Ayuh kita berikan sokongan kepada  pemain muda Itali yang akan datang! Marilah kita kembali menjadi Itali yang menjadikan seluruh dunia berasa cemburu! Malangnya, ini harus terjadi agar kita tersedar!" 
 

Advertisement

Must Watch Video