Skip to main content

Advertisement

Rencana

Cabaran April buat Ole!

solskjaer_2.jpg
Setelah hampir empat bulan menjawat jawatan selaku pengurus sementara buat pasukan Manchester United, akhirnya pihak pengurusan The Red Devils sepakat memberikan jawatan tetap selaku pengurus pasukan kepada Ole Gunnar Solskjaer untuk kontrak selama tiga tahun.

Khabar ini disambut dengan amat baik oleh peminat Manchester United di seluruh dunia, termasuk pemain United yang memberikan sokongan secara moral.

Kehadiran Ole berjaya mengembalikan keyakinan pemain di atas padang dengan rekod bersih tidak tewas dalam liga selama hampir dua bulan, selain turut memenangi anugerah pengurus pasukan terbaik pada Januari. 
Paling diingati sudah tentu kebangkitan dramatik menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) di laman lawan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Namun, berita baik dengan kontrak yang dimeterai juga disertai dengan cabaran hebat yang bakal ditempuh United April ini. 

Untuk saingan liga, dua perlawanan mendatang menyaksikan United bakal berdepan Watford dan Wolverhampton dengan kedua-dua pasukan merupakan pasukan terbaik dalam Liga Perdana Inggeris jika ditolak enam pasukan teratas. Dia tas kertas, saingan menentang kedua-dua pasukan dilihat seimbang malah mungkin Wolverhampton mempunyai kelebihan selepas menumbangkan United dalam saingan Piala FA.

Kemudiannya, Old Trafford akan menerima kunjungan Barcelona untuk perlawanan pertama suku akhir sebelum bertandang ke Nou Camp pada minggu berikutnya.

Pada penghujung April, untuk perlawanan ketiga dan keempat terakhir liga, Ole dan anak-anak buahnya akan berdepan pasukan Chelsea dan Manchester City. 

Mungkin perlawanan ini akan menjadi penentu bagi Manchester City sama ada mereka mampu mempertahankan gelaran juara liga dan dalam masa sama, ia juga mungkin menjadi perlawanan penentu sama ada United mampu berada dalam kelompok empat terbaik di liga.

April, mungkin akan menjadi bulan paling mencabar buat Ole dan pasti percaturannya akan menjadi perhatian ramai. Kiraannya mudah, jika keputusan perlawanan positif, pujian yang diterima. Jika negatif,faham-fahamlah ye..

Advertisement

Must Watch Video