RENCANA
Bukan Pogba tapi patutnya Hazard
Andai satu tinjauan peminat mengangkat Chelsea selaku pasukan paling dibenci, ‘penghormatan’ individu itu harus milik Paul Pogba ketika ini.
Sejurus senarai Pasukan Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) dikeluarkan awal pagi semalam, akhbar-akhbar British sibuk mempertikaikan penyenaraian pemain tengah Manchester United itu yang rata-rata dirumuskan sebagai “tidak layak”.
Masing-masing mengemukakan pelbagai dalil dan alasan pada ketika pemilihan 10 pemain lain tidak pula terlalu dipertikaikan.
Iklan
Kata akhbar-akhbar berkenaan, tonggak Chelsea, Eden Hazard, adalah yang lebih layak berdasarkan konsistensi sepanjang musim dibandingkan dengan Pogba, yang kerap dikritik ketika Jose Mourinho selaku pengurus United dan hanya menyerlah selepas Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih selaku pengurus sementara Disember lalu sebelum prestasinya merudum semula.
Di sebalik bintang Perancis berusia 26 tahun itu tampil selaku penyumbang jaringan terbanyak daripada seorang pemain tengah dengan 13 gol musim ini, pengkritik dan bekas penyerang England, Gary Lineker, antaranya, gagal diyakinkan.
“Dia tidak cukup konsisten sejak Ogos tahun lalu untuk melayakkannya tempat dalam Pasukan Terbaik Tahunan PFA,” katanya kepada Manchester Evening News. “Prestasinya boleh berubah-ubah di antara cemerlang dan sangat hambar.”
Nada seakan-akan sama disuarakan bekas kapten United, Roy Keane, “Dia berbakat tapi kita sering mengatakan yang sama secara berulang-ulang tapi sebagai pemain senior, pernah beraksi dan memenangi trofi dalam kejohanan besar, saya tidak fikir dia memimpin melalui teladan.
“Paul sering bercakap mengenai bahasa tubuh dan rasa bangga tapi saya tidak melihat itu dalam permainannya. Penglihatan saya tidak membohongi saya,” katanya kepada Sky Sports.
Namun, kata orang, untuk menang sesuatu, anda harus berada di tempat dan waktu yang tepat sedangkan selebihnya dianggap tidak penting mahupun berkaitan.
Pemain dan Pasukan Terbaik Tahunan PFA diputuskan melalui undian semua pemain Liga Inggeris – daripada keempat-empat divisyen -- yang menganggotai persatuan itu yang lazimnya dilakukan di antara akhir Februari dan awal Mac setiap tahun – kebetulan tempoh singkat Pogba sedang cemerlang musim ini.
.jpg)
Apapun yang dikatakan baik Lineker mahupun Keane tidak penting kerana kesudahannya pemain-pemainlah yang memutuskan undian masing-masing secara individu untuk dua pemain pilihan mereka dan bukan mengikut kehendak kelab masing-masing.
Untuk musim ini, undian mereka memutuskan kesebelasan terbaik seperti berikut: Ederson (Manchester City), Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Virgil Van Dijk (Liverpool), Aymeric Laporte (Manchester City), Andy Robertson (Liverpool), Paul Pogba (Manchester United), Bernardo Silva (Manchester City), Fernandinho (Manchester City), Sergio Aguero (Manchester City), Raheem Sterling (Manchester City) dan Sadio Mane (Liverpool).
Masalahnya ialah apabila pemain seperti Hazard tercicir daripada senarai itu dan perbandingan segera dibuat di antaranya dan pemain tengah yang tersenarai – khususnya Pogba selain Bernardo Silva dan Fernandinho kali ini.
Tambahan pula, Hazard sangat cemerlang bersama Chelsea – 16 gol dan 13 bantuan jaringan di samping 13 kali tampil selaku pemain terbaik perlawanan – terbanyak buat seorang pemain musim ini.
Rakan-rakan pemain profesional dalam liga mungkin terlepas pandang dan Hazard hanya dapat menyalahkan tiada rezekinya.
Di samping itu, ada banyak lagi lagi anugerah tahunan, umpamanya Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Penulis Bolasepak (FWA), Pemain Terbaik Tahunan Peminat Bolasepak (FPY) dan Pemain Terbaik Tahunan Persekutuan Penyokong Bolasepak (FSF) andai dia benar-benar bagus.
Satu-satunya pilihan buat Hazard ketika ini ialah mengucapkan tahniah kepada Pogba dan kekal ‘sporting’.
Must-Watch Video