Itulah yang terlintas di fikiran penulis apabila pihak FAM serta merta menukar nama gelaran skuad bola sepak Malaysia dari Harimau Malaya kepada Harimau Malaysia. Setelah hampir 53 tahun menggunakan nama tersebut, FAM menukarkan perkataan 'Malaya' kepada 'Malaysia' yang dilihat lebih dekat dengan jiwa setiap peminat bola sepak tanah air.
Selari dengan hasrat dan aspirasi FAM sendiri yang mahu melihat skuad negara bermula garang di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee dan juga Frank Bernhardt yang mengendalikan skuad bawah 22 tahun negara, penukaran gelaran ini diharap mampu memberikan nafas dan semangat baru kepada setiap pemain yang mewakili negara.
Namun realistiknya, banyak kerja perlu dilakukan oleh kedua-dua jurulatih bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negara. Bukan setakat itu, malah FAM sendiri serta persatuan bola sepak negeri dan kelab kelab professional yang ada di Malaysia haruslah bersatu bagi memartabatkan perjuangan Harimau Malaysia.
Mengambil contoh pasukan Brazil yang sinonim dengan bola sepak selain terkenal dengan sambanya, tetap dibelasah 7-0 oleh Jerman di laman sendiri pada Piala Dunia 2014. Kerana apa? Kerana mereka lebih bersandarkan kepada nama semata-mata tanpa mementingkan kualiti dan tahap permainan di atas padang.
Jadi, janganlah sekadar bersandar kepada nama, kerana apa yang lebih penting, kegarangan di atas padang haruslah diutamakan. Bina sejarah dan bawa empayar bola sepak negara ke tahap tertinggi terlebih dahulu, barulah nama itu akan gah dengan sendirinya.