Skip to main content

Rencana

Budi bahasa budaya Harimau Malaya

peminat-malaysia-vietnam.jpg
Tahniah! Anda bertuah kerana berjaya mendapatkan tiket final Piala Suzuki AFF 2018 yang 'panas' macam pisang goreng cheese. Kini, anda berada di fasa kedua untuk persiapan menjadi pemain ke-12 yang paling sempurna bagi Harimau Malaya.

Penulis sebenarnya cukup senang dengan kualiti yang ada pada penyokong Harimau Malaya ketika ini -- hasil pemerhatian ketika menonton perlawanan skuad negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam kempen kali ini, jelas mentaliti rakyat Malaysia semakin baik. Sampah pun susah nak ditemui lagi.

Daripada sumbangan biasa seperti senyuman dan sapaan mesra sehingga etika berniaga dan memberi laluan kepada golongan yang lebih memerlukan perhatian seperti golongan orang kelainan upaya (OKU) dan wanita -- penulis yakin ada banyak lagi yang mampu ditawarkan penyokong Harimau Malaya esok.

Perkongsian sekumpulan penyokong negara yang berkunjung ke Bangkok untuk aksi separuh akhir kedua berjaya mencuri perhatian -- betapa semangat 'makan bola, tidur bola' semakin menyerlahkan matlamat sebenar penganjuran sesebuah kejohanan dikalangan pencinta bola sepak, khususnya Asia Tenggara -- menerusi perkongsian air minuman oleh penyokong skuad Gajah Perang sebelum perlawanan berlangsung.

Usaha ini jelas menusuk ke sisi lembut warga Malaysia yang cintakan keharmonian dan penulis mahu mengingatkan semua bahawa ini bukan kerana kita juga mahu menjadi watak baik yang ditularkan atau mengambil kesempatan ini untuk menunjuk-nunjuk kebaikan, tetapi itulah nilai murni yang sememangnya ada di dalam diri kita yang kadang kala terlupa dek kerana ghairah mahu menunjukkan taring demi mempertahankan pasukan kesayangan.

Jadi, ingatkan kepada diri sendiri dan mereka yang berada di sebelah kita di stadium nanti agar tidak tergolong dalam 1 peratus golongan yang tidak bertamadun seperti insiden yang pernah berlaku di Stadium Shah Alam, empat tahun lalu. Masihkah anda ingat aksi separuh akhir pertama di antara Malaysia dan Vietnam yang bermula manis dengan penyokong Myanmar datang menghulur persahabatan dengan kain rentang bertulis 'Footbal helps us become friends, do not do the opposite' -- disambut dengan tangan terbuka oleh kejernihan hati penyokong negara dan kebanyakannya berkongsi foto bersama pihak lawan di sosial media dengan pelbagai 'hashtag' perpaduan.

Namun, tindakan ganas yang berlaku pada minit ke-85 oleh sekumpulan kecil penyokong negara yang menyerang penyokong Vietnam menjadi setitik nila yang merosakkan segalanya -- perbuatan yang cukup memalukan, sekaligus mencemar nama baik Malaysia sehingga Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin, terpaksa melakukan permohonan maaf kepada Vietnam.

Sudah tiba masanya kisah nila ini disemadikan sahaja di carian Google. Tahun ini, anda selaku golongan yang bertuah boleh membantu dengan mengekalkan atau menambah baik kualiti penyokong Harimau Malaya. Mari kita berikan penyokong The Golden Dragons satu pengalaman yang luar biasa. Biar penyokong Harimau Malaya jadi contoh dan penanda aras kepada semua.

Advertisement

Must Watch Video