Skip to main content

Rencana

Buat Ozil, pangkalnya manis tapi hujungnya…

ozil-cover-1.jpg
Kerjaya Mesut Ozil bersama Arsenal nampaknya sudah berakhir selepas dia tidak disenaraikan oleh Mikel Arteta dalam barisan 25 pemain kelab itu musim ini.

Di laman Instagram milik Ozil, mesej perpisahannya begitu pilu sekali untuk dibaca.

“Sesungguhnya, begitu sukar untuk saya menulis mesej ini kepada para peminat Arsenal, mereka yang saya perjuangkan selama bertahun-tahun sebelum ini.

“Saya sungguh kecewa dengan hakikat nama saya tidak didaftarkan dalam Liga Perdana Inggeris musim ini. Biarpun saya memberikan kesetiaan penuh kepada kelab yang saya cintai, ternyata kesetiaan ini tidak berbalas.





















 

"Setiap minggu, saya cuba kekal positif dan menaruh harapan agar dapat kembali bersama pasukan.

Disebabkan itulah saya berdiam diri selama ini tetapi segalanya sudah berubah dan sekarang saya tidak lagi dibenarkan untuk berbakti buat Arsenal, apa lagi yang boleh saya katakan?

“Namun, saya berjanji bahawa saya akan tetap terus bertarung bagi merebut peluang dan saya tidak akan berhenti bersuara dalam menentang sikap tidak berperikemanusiaan dan ketidakadilan,” katanya.

Ozil lantang bersuara dalam mengkritik layanan negara China terhadap etnik Muslim Uighur pada Disember tahun lalu, satu tindakan yang tidak disokong oleh Arsenal.

Dia juga difahamkan telah menolak pemotongan gajinya yang setinggi £350,000 (RM1.7 juta) seminggu sewaktu Arsenal merayu pemain mereka untuk membantu menjimatkan kos ketika Liga Perdana Inggeris dihentikan seketika akibat pandemik COVID-19 pada April lalu.

Mungkin faktor-faktor sebegini yang membuatkan Arsenal tidak lagi berminat untuk mengekalkan pemain berusia 32 tahun itu.

Namun, menurut akhbar The Guardian, pengurus Arsenal, Mikel Arteta, berkata bahawa tindakan yang diambilnya itu langsung tidak berkaitan dengan sebarang perkara yang berlaku di luar padang, malah dia berasa bersalah kerana gagal menyerlahkan potensi penuh Ozil.

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya tentang perkara ini, ia langsung tidak berkaitan dengan sikap Ozil mahupun tentang pemotongan gaji. Ia adalah keputusan saya sepenuhnya, jadi jika ada seseorang yang harus dipersalahkan, sayalah orangnya,” ulas pengurus berbangsa Sepanyol itu. 

Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, jurulatih yang membawa Ozil ke Emirates memberikan pendapatnya dalam temu bual bersama Sky Sports News dan BBC:

“Ozil adalah seorang pemain luar biasa. Apa yang berlaku di antara dia dan kelab sekarang nampaknya adalah satu konfrontasi, bukannya sesuatu yang berkaitan tentang bola sepak semata-mata.



“Mengapa dia tidak disenaraikan oleh Arteta? Saya tidak pasti, tetapi sebagai seorang pemain, dia harus menghormati keputusan jurulatih dan berjuang untuk meraih semula kepercayaan, semuanya terserah kepada dia sekarang.

“Apa-apa pun, jangan sesekali lupa bahawa Ozil adalah seorang juara dunia yang pernah bermain bersama Real Madrid. Ia sungguh merugikan apabila dia tidak terlibat bersama pasukan.”

Jika kita ketepikan segala kontroversi dan faktor luaran dan melihat daripada sudut statistik semata-mata, menurut laman sesawang premierleague.com, dalam 184 penampilan bersama Arsenal, Ozil telah menyumbangkan 33 gol dan 54 bantuan jaringan.

Arsenal memenangi sebanyak 100 perlawanan apabila Ozil terlibat bermain dan hanya tewas 39 kali, tetapi kini semua angka ini bakal tinggal sebagai sejarah semata-mata.

Adilkah layanan sebegini diberikan buat seorang pemain yang pernah diangkat sebagai Pemain Kebangsaan Jerman Terbaik sebanyak lima kali? 
 

Advertisement

Must Watch Video