Skip to main content

Rencana

Brendan Gan, anda luar biasa

fadzrie.jpg
“Bagus sangat ke Brendan Gan tu?” Itu persoalan sesetengah pemerhati sukan dan kenalan rakan media kepada penulis ketika penulis mencanang nama bekas pemain Sydney FC itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekitar 2011.

Namun, segala keraguan terhadap Brendan terjawab dengan aksi cemerlang pemain tengah itu ketika menewaskan Thailand 2-1 dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semalam.

Pada 2011, sebelum  Sukan Sea 2011 di Indonesia, penulis mendapat tahu mengenai kelibat Brendan yang mempunyai pertalian dengan Malaysia menerusi seorang kenalan yang menuntut di Australia.

Penulis kemudian cuba mendapatkan maklumat tambahan mengenai Brendan, sebelum berjaya menghubungi pengurusan Sydney FC dan akhirnya berkomunikasi secara terus dengan pemain tersebut.

Ketika menonton aksi Brendan menerusi saluran Youtube, penulis kagum dengan aksi pemain itu yang lebih banyak beraksi sebagai sayap kanan dan tengah menyerang pada usia mudanya.

Brendan ketika itu memaklumkan kepada penulis, bapanya berasal dari Seremban tetapi sudah lama menetap di Australia dan dia juga dilahirkan di sana.

Ketika itu juga, Brendan menyuarakan minatnya mewakili Malaysia memandangkan dia tidak pernah dipanggil mewakili Australia di peringkat remaja mahupun senior.

Penulis kemudian terus mengadakan pertemuan dengan mantan Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Azzuddin Ahmad, bersama dengan pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, dan memaklumkan kepada mereka mengenai kemungkinan Brendan layak mewakili negara dalam Sukan Sea 2011.

Azzuddin memberi reaksi positif kepada penulis ketika itu, begitu juga dengan Kim Swee dan sekretariat FAM pada masa itu terus berusaha mendapatkan maklumat tambahan mengenai Brendan.

Namun, gara-gara beberapa isu dan kesuntukan masa menjelang Sukan Sea, usaha membolehkan Brendan mewakili negara terbantut seketika.

Brendan kemudian mencuba nasib sebagai awang import pada 2012 apabila menyertai Sabah.

Ternyata Brendan berasa selesa beraksi dalam saingan Liga-M dan kemudian, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menawarkan tempat kepadanya untuk musim 2014.

KAFA pimpinan Tan Sri Annuar Musa ketika itu turut berusaha mendapat segala kelulusan bagi membolehkan Brendan didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Brendan akhirnya mendapat taraf kerakyatan dan didaftarkan sebagai pemain tempatan yang turut membolehkannya mewakili negara.

Aksi sulung Brendan bersama Harimau Malaya adalah sebagai pemain lebih umur skuad B-23 dalam Sukan Asia Incheon 2014.

Penampilan sulung bersama skuad senior negara pula adalah pada 2016 berdepan Arab Saudi dalam kelayakan Piala Dunia 2018.

Bagaimanapun Brendan berdepan kecederaan lutut sebanyak dua kali pada 2015 dan 2016 yang menyaksikannya berehat semusim pada 2017.

Brendan menghabiskan tempoh rehatnya dengan melakukan proses pemulihan secukupnya dengan komitmen yang cukup tinggi.

Akhirnya, pada 2018, Brendan kembali ke kancah bola sepak tempatan bersama Perak dan membantu The Bos Gaurus muncul juara Piala Malaysia pada musim tersebut.

Dengan Brendan kini menunjangi bahagian tengah Harimau Malaya dengan berkesan, ternyata tindakan penulis mencanang namanya kepada FAM adalah tepat.

Meskipun kini sudah berusia 31 tahun, penulis percaya Brendan mampu mengerahkan kudrat untuk lima atau mungkin enam tahun lagi berlandaskan komitmen serta disiplin tinggi yang dimilikinya.

Pujian juga wajar diberikan kepada KAFA pimpinan Tan Sri Annuar Musa pada 2013 yang berusaha mendapatkan taraf kerakyatan buat Brendan ketika itu.

Difahamkan Brendan juga bakal bersama Selangor untuk musim 2020 dan dengan segala perubahan yang dilakukan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ketika ini, sudah pasti ia memudahkan bekas permata Liga A itu untuk terus mewarnai bola sepak Malaysia.

Bagi penulis, ia adalah satu kepuasan untuk berjaya menyumbangkan sesuatu buat bola sepak negara apabila melihat kejayaan Brendan bersama Harimau Malaya kini.

Apa pun, perjuangan masih jauh buat Brendan bersama rakan-rakan lain skuad kebangsaan dalam saingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.

Penulis berharap, Brendan dan juga pemain lain akan meneruskan momentum kemenangan dalam kempen kelayakan kali ini selepas kemenangan ke atas Thailand.

Advertisement

Must Watch Video