RENCANA
Bosanlah tu sembang depan kamera
Jose Mourinho yang menjadi pengulas sukan dalam televisyen selepas disingkirkan oleh Manchester United musim lalu akhirnya kembali berkhidmat di atas padang.
Disaat ramai beranggapan Mourinho mungkin akan kembali menjadi jurulatih di Sepanyol atau Itali, kejutan berlaku apabila dia menerima tawaran kelab dari London, Tottenham Hotspur.
Pengumuman itu dilakukan pihak pengerusan kelab Spurs selepas memecat Mauricio Pochettino atas aksi hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila mereka sekadar menduduki tangga ke-14 liga. Aksi kurang konsisten turut dipamer dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah di bawah bimbingan jurulatih dari Argentina itu dengan hanya meraih tujuh mata daripada empat perlawanan.
Iklan
Persoalannya kini, adakah The Special One mampu membawa perubahan positif kepada Spurs? Atau akan berlaku sekali lagi beliau disingkirkan seperti yang berlaku di Chelsea dan Manchester United?
Jika sejarah menjadi ukuran, jurulatih dari Portugal itu amat terkenal dengan corak permainan bertahan dengan memanfaatkan kesilapan pihak lawan dan perkara ini kurang digemari peminat malahan pemain sendiri. Mourinho bukanlah jurulatih yang mengutamakan penguasaan bola dan kebiasaannya apabila rancangan tidak menjadi, penghujungnya selalu terjadi pertelingkahan di antara Mourinho dan juga pemainnya sendiri.
Harus diingat, Spurs bukanlah sebuah kelab besar dengan dana yang banyak seperti United dan Chelsea sekali gus wujud persoalan adakah Mourinho mampu berbelanja mengikut kemampuan kelab? Atau mungkin kekurangan dana akan menjadi alasan andai gagal mencipta kemenangan? Kerana berdasarkan sejarah, Mourinho turut terkenal sebagai jurulatih dengan pembelian pemain dengan harga yang mahal.
Tiada siapa mampu meneka apa yang akan berlaku kepada Spurs selepas ini memandangkan perlawanan pertama di bawah kendalian Mourinho adalah berdepan West Ham United dan mereka bakal bertemu United dan Chelsea pada Disember nanti.
Dayang sejujurnya amat tertarik mahu melihat sejauh mana Spurs mampu melangkah bersama Mourinho. Sudah tentu kehadiran Mourinho akan menambah rencah di saingan Liga Perdana Inggeris dan pertelagahan ataupun pergaduhan mulut pastinya akan berlaku di antara Mourinho dengan pengendali lain terutamanya Pep Guardiola, Jurgen Kloop mahupun Frank Lampard.
Must-Watch Video