Skip to main content

Rencana

Bola sepak moden dari kaca mata jurulatih muda Nidzam BAH 1

nidzam-jamil.jpg
Hantaran jauh kini disifatkan sebagai anti-bola sepak dalam arus bola sepak moden.

Ia digambarkan sebagai satu corak permainan lapuk yang kurang menyerlahkan teknikal pemain atau lambungkan sahaja bola dan pemain di hadapan akan menghambatnya.

Apatah lagi liga utama di Eropah sudah membenarkan sepakan gol dimainkan dalam kotak penalti, yakni mengutamakan hantaran dari jarak dekat dan ia memerlukan serangan itu dibina dari kawasan kotak penalti sendiri.

Apakah itu benar-benar caranya bola sepak diolah sebagai moden?



Jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, mempunyai pandangannya tersendiri.

Jurulatih muda pada usia 39 tahun ini mendapat peluang pertama dalam Liga Super musim ini susulan ketiadaan B. Sathianathan.

Walaupun berdepan peruntukan yang lebih kecil selain kehilangan ramai tonggak utama seperti ketua pasukan, Shukor Adan, Wan Zack Haikal Wan Noor, bekas pemain kebangsaan itu berjaya mengekalkan Felda dalam saingan Liga Super musim depan.

Antara keputusan yang membantu mereka ialah kejayaan mencuri tiga mata ke atas Kedah dengan kemenangan 5-1.

Dalam masa sama, ramai pemain dalam lingkungan awal 20-an mendapat tempat dalam skuad utama seperti Ahmad Tasnim Fitri Nasir (20 tahun), Jadid Ilias (22 tahun), Anwar Ibrahim (20 tahun), Faiz Mazlan (22 tahun), Zahril Azri Zabri (20 tahun), Daniel Amier Norhisham (22 tahun) sambil diketuai Hadin Azman (25 tahun).

Bagaimanapun, Nidzam menganggap bola sepak moden hanyalah bahasa popular hari ini.

Ia tidak mewakili sesuatu corak hantaran, bahkan kalau lebih mengamalkan corak bertahan sekalipun, ia masih boleh dianggap sebagai bola sepak moden, bergantung kepada ramuan seseorang jurulatih itu ada dalam pasukan.

"Ia mengenai cara seseorang jurulatih itu untuk menangani pasukan dengan merangkumi segala perancangan, persiapan dan latihan termasuk proses pemulihan pemain.

"Ia bukan setakat definasi formasi 4-3-3, ia lebih besar daripada itu.

"Ia mengenai persiapan latihan khusus untuk menghadapi sesebuah perlawanan itu.

"Cara jurulatih mengendalikan pemain juga berbeza. Sikap pemain yang dibesarkan di bandar dan luar bandar juga berbeza," katanya ketika ditemui.

Begitupun, dia menolak tanggapan bahawa idea jurulatih veteran sudah tidak relevan dan usaha ke arah pemodenan itu tidak boleh diletakkan di bahu jurulatih semata-mata.



"Pendekatan hari ini melibatkan banyak aspek persiapan permainan dan pemain itu sendiri.

"Kalau dulu, persiapan pasukan cenderung kepada amalan taktikal tertentu sahaja tetapi hari ini, ia boleh divariasikan dengan pelbagai pendekatan.

"B. Sathianathan contohnya, beliau adalah yang terawal menggunakan pasukan pemantau, guna teknologi dan menganalisis perlawanan."

Tambahnya, ia tidak semestinya melibatkan keamatan tinggi dalam perlawanan tetapi pemain akan mempunyai tugasan spesifik untuk dilakukan.  

(Bersambung)

Advertisement

Must Watch Video