Skip to main content

Rencana

Bola Emas mula memanggil Messi

messiah.jpg
Lionel Messi dan Barcelona dalam misi menakluk setiap kejuaraan di Eropah musim ini dengan mempamerkan aksi terbaik setakat ini. Mudah mengatasi Manchester United 4-0 secara agregat untuk melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) sementara memiliki kelebihan sembilan mata mendahului saingan LaLiga ketika saingan berbaki lima perlawanan.

The Blaugrana di landasan untuk menjuarai ‘treble’, melangkah ke perlawanan akhir Piala Sepanyol berdepan Valencia 25 Mei ini, merupakan satu-satunya kelab di Eropah melengkapkan dua ‘treble’ dan musim ini, kejuaraan 'treble treble' akan menambah satu lagi kemenangan yang tiada tandingan.

Cristiano Ronaldo sebaliknya menempuhi musim yang dianggap kurang baik berdasarkan kualiti yang dimilikinya. Bintang kelahiran Portugal itu tersingkir daripada saingan UCL bersama Juventus di tangan  AFC Ajax dan The Old Lady turut tersingkir daripada Piala Itali. Namun, Ronaldo muncul pemain pertama untuk muncul juara liga di tiga negara berbeza.

Anugerah Ballon d'Or dikenali sebagai pencapaian tertinggi buat pemain dalam dunia bola sepak. Messi dan Ronaldo merupakan pemenang terbanyak dengan lima anugerah. Messi tidak memenanginya sejak 2015 dengan tiga edisi lalu dimenangi Ronaldo dan juara bertahan, Luka Modric. Perancang kelahiran Argentina itu kini dilihat di tahap terbaik untuk menjuarai lebih banyak gelaran, memainkan peranan di Barcelona dalam misi mencipta kejayaan bersejarah menuju ‘treble treble’. Aksi cemerlangnya ketika mengatasi United dalam suku akhir membuktikan dia berada di  tahap terbaik.

Penulisan ini akan membincangkan tiga sebab Messi bakal meraih Ballon d'Or yang keenam.

Jurang antara pencabar lain terlalu jauh

Messi menamatkan saingan di tempat kelima musim lalu, pemenang Piala Dunia, Antoine Griezmann dan Kylian Mbappe serta juara UCL musim lalu, Cristiano Ronaldo dan Luka Modric, menjaringkan gol lebih daripadanya. Keempat-empat pesaing ini telah tersingkir daripada UCL dan tiada pemain yang mampu mengejar statistik jaringan serta bantuan jaringan yang dilakukan oleh Messi.

Messi mendahului saingan LaLiga, UCL dan carta jaringan Kasut Emas Eropah. Dia telah meledak 45 gol dan 15 bantuan jaringan dalam semua kejohanan untuk Barcelona.

Messi turut berada di petak pertama sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (21 kali). Jaringannya telah memastkan Barcelona ke separuh akhir UCL, mendahului LaLiga dan melangkah ke final Piala Sepanyol.

Tiada tekanan saingan antarabangsa

Harus diakui Messi tidak mampu mencipta impak yang sama seperti di Barcelona ketika menyarung jersi Argentina. Terdapat beberapa faktor antaranya pengurusan Persatuan Bolasepak Argentina yang lemah serta kekurangan pemain berkualiti dalam skuad La Albiceleste. Walaupun memikul pasukan ke final Piala Dunia 2014, dua edisi Copa America 2015 dan 2016, Messi tidak pernah memenangi gelaran utama di pentas antarabangsa.

Messi musim lalu berdepan tugas sukar selepas Barcelona tersingkir daripada UCL, di belakang pemenang Piala Dunia, Griezmann, Mbappe dan Modric dalam carta jaringan.

Ronaldo memenangi Ballon d'Or 2016 menerusi kejayaan Portugal memenangi Euro. Jadi, kekurangan kejohanan antarabangsa musim ini membuka jalan buat Messi.

Permainan berkesan Barcelona pimpinan Valverde

Kemenangan dan Barcelona seperti tiada pemisah di bawah kendalian Valverde. Selepas menjuarai dua gelaran domestik dalam dua musim berturut-turut, The Blaugrana kelihatan sudah bersedia untuk meraih 'treble treble' musim ini. Mempelajari kesilapan musim lalu selepas dikejutkan AS Roma dalam aksi suku akhir UCL musim lalu, Valverde menghadirkan pemain seperti Arthur dan memperkuat jentera pertahanan dengan Clement Lenglet untuk membentuk Barcelona yang baru.

Meninggalkan sentuhan tiki-taka dan permainan cantik, Barcelona tidak lagi takut untuk memastikan kemenangan memihak mereka. Keputusan 1-0 yang diraih di tempat lawan di Old Trafford membuktikan "cara bermain" tetapi keputusan menjadi keutamaan.
 

Advertisement

Must Watch Video