RENCANA
Bisa kuda tuaku
Kazuyoshi Miura memiliki aras tersendiri dalam bola sepak Jepun.
Apa tidaknya, menjelang usia 52 tahun pada tanggal 26 Februari depan, dia mengumumkan kontrak barunya bersama kelab divisyen dua Jepun, Yokohama FC, sejak menyertainya pada 2005.
Ia adalah musim ke-34 dalam sejarah pengembaraannya bergelar pemain profesional.
Iklan
"Saya mahu berdepan dengan bola sepak dan mengikuti sesi latihan setiap hari dengan sepenuh tenaga," katanya.
Dia diangkat sebagai penjaring tertua di dunia pada 2017, bahkan menjadi pemain tunggal yang masih bertahan sebelum era penjenamaan Liga Jepun pada 1993.
Miura menjadi panduan bola sepak Negara Matahari Terbit itu atas keinginan tingginya untuk menembusi pasaran antarabangsa apabila pernah bersama gergasi Brazil, Santos, selain dinamakan Pemain Terbaik Asia 1993.
Malah, semangatnya untuk beraksi usah dipertikaikan apabila diberi kesempatan bermain selama 56 minit dalam sembilan penampilan musim lalu meskipun gagal melakar jaringan.
Liga Malaysia juga tidak kurang hebatnya.
Beberapa pemain yang dicop 'kuda tua' masih lagi mampu mengerah kudrat di pentas tertinggi Liga Super.
Shukor Adan antara pemain yang menjadi buruan banyak pasukan dan musim ini dia kembali ke pangkuan pasukan negerinya, Melaka United, walaupun sudah mencecah usia 40 tahun.
Baik diletakkan di bahagian pertahanan mahupun sebagai penggerak jentera tengah, Shukor mampu menyaingi generasi muda yang lebih bertenaga.
Begitu juga dengan Indra Putra Mahayuddin yang mengetuai skuad The City Boys.
Indra, 38, terus menjadi sandaran untuk merobek pintu gol lawan dan merupakan penjaring terbanyak Liga Super sejak diperkenalkan pada 2004 apabila mengumpul 95 gol.
Selain itu, larian bertenaga Amri Yahyah kekal menjadi igauan pertahanan lawan.
Pemain kelahiran Tanjung Karang, Selangor, itu sebaya dengan Indra dan menjadi idola di negeri kelahirannya.
Pada awal kariernya, dia diletakkan di beberapa posisi sebelum menemui gaya permainan yang menjadikannya sebagai pemain kegemaran ramai.
Masih ramai atlet yang mampu menabur bakti untuk negara, antaranya Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David atas keazaman mereka untuk terus bersaing di peringkat tertinggi.
Must-Watch Video