Skip to main content

Rencana

Bila Malaysia disangka kura-kura

football-asian-games.jpg
Masih segar kejayaan membelasah Bahrain, 6-0 pada perlawanan sulung Kumpulan E Sukan Asia tanpa Son Heung Min seolah-olah buatkan Korea Selatan yakin berdepan skuad negara tanpa masalah.

Sekali lagi tidak gunakan khidmat bintang Tottenham itu menentang skuad negara, jurulatih Korea, Kim Hak-bum turut bertindak berani rehatkan penjaga gol seiras artis Kpop, Jo Hyeon-Woo.

Hanya Hwang Hee-chan, pemain yang disenaraikan di skuad Piala Dunia berada dalam kesebelasan utama, perlihatkan perasaan optimis cukup menebal daripada Korea Selatan.

Umpama kisah lumba lari kura-kura dan arnab, mungkin itu paling sesuai gambarkan Malaysia dan Korea Selatan di penghujung perlawanan.

Korea Selatan memang ada kualiti lebih baik dalam aspek teknikal pemain namun bukan itu jadi ukuran dalam bola sepak sebaliknya angka jaringan.

Kekal berdisiplin semasa bertahan dan percaya dengan diri sendiri, dua bekalan ini sudah cukup bantu tumbangkan pemain Korea yang 'terlena' pada dua pertiga waktu perlawanan.

Ingat Korea..memang Malaysia negara yang kerdil dalam dunia bola sepak tetapi itu tidak bermakna pemain kita kerdil daripada semangat juang.

Buat jurulatih, Datuk Ong Kim Swee tahniah kerana mampu jadi konduktor hebat dalam teruskan 'orkestra' momentum pasukan ini sejak kejohanan AFC Bawah 23 tahun, Januari lalu.

Namun perjuangan belum selesai buat barisan negara kerana sasaran akhirnya ialah kita mahu melihat mereka mara sejauh mungkin di Sukan Asia.

Suku akhir adalah satu impian paling realistik buat masa ini berdasar kemampuan anak buah Kim Swee tetapi tidak salah memasang impian.

Apa salahnya kita harapkan skuad bola sepak negara mampu ulangi sejarah 1962 dan 1974 iaitu bawa pulang pingat gangsa dalam dua edisi berkenaan.

Buat perwira-perwira negara, teruskan langkah sebagai pembunuh gergasi dan tiada apa mustahil jika berani dalam cipta realiti.
 

Advertisement

Must Watch Video