RENCANA
Biarkan temasya Rio bermula…
Jika ada sebuah negara yang mampu menunjukkan kepada dunia bagaimana untuk berparti, ia haruslah Brazil.
Upcara pembukaan Sukan Olimpik Rio 2016 pagi ini, yang berlangsung gilang-gemilang dengan mengadunkan elemen sejarah, kemanusiaan, budaya dan alam sekitar – pada kos sederhana sekalipun dengan persiapan selama tujuh tahun – adalah buktinya.
Setiap empat tahun, sebuah keluarga besar sejagat akan berhimpun untuk meraikan satu temasya terbesar yang melangkaui sekadar perebutan pingat emas, perak dan gangsa dalam menentukan juara keseluruhan antara kontinjen negara-negara yang bertanding.
‘The Olympic Family’ atau ‘Keluarga Olimpik’ mencakupi sesiapa saja yang terbabit secara langsung dengan Sukan Olimpik – daripada jawatankuasa penganjurnya, persekutuan sukan antarabangsa yang bernaung di bawah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), kontinjen peserta yang terdiri daripada pegawai dan atlet, sukarelawan hinggalah kepada media yang meliputi temasya berkenaan.
Sesungguhnya, Pergerakan Olimpik mempunyai matlamat yang jauh lebih besar, iaitu menyumbang kepada pembinaan dunia yang aman dan lebih baik dengan mendidik golongan muda melalui sukan yang diamalkan tanpa sebarang bentuk diskriminasi yang menuntut persefahaman bersama dengan semangat persahabatan, perpaduan dan permainan bersih.
Iklan
Hari ini, dengan rasminya bermulalah Sukan Olimpik Rio 2016, didahului dengan upacara pembukaannya di Stadium Maracana yang gilang-gemilang dan berwarna-warni – dianggar disaksikan tiga bilion penonton di merata pelosok dunia.
Atlet-atlet dari kontinjen 206 negara dan sebuah pasukan pelarian mengambil bahagian di Brazil untuk bertanding dalam 28 jenis sukan yang bakal ditonton berbilion peminat sukan.
Sejumlah 10,500 atlet dari 207 negara mengambil bahagian di Rio – satu rekod Olimpik – dan juga sebuah pasukan pelarian yang dianggotai 10 atlet: lima dari Sudan Selatan, dua dari Syria, dua dari Republik Congo dan seorang dari Habsyah.
Dengan 554 atlet, Amerika Syarikat menampilkan kontinjen terbesar manakala satu-satunya atlet yang mewakili Tuvalu ialah pelari 100 meter, Etimoni Timuani. Temasya Rio 2016 akan menjadi penampilan pertama Kosovo dan Sudan Selatan. Namun, temasya kali ini juga – julung-julung kalinya Sukan Olimpik bertuanrumahkan sebuah negara Amerika Selatan -- bukan tanpa kontroversi dan permasalahan.
Hari-hari menjelang upacara pembukaan didominasi oleh skandal doping Russia pada skala besar-besaran yang suatu ketika memungkinkan tiada seorang pun atlet dari negara berkenaan dibenarkan bertanding sama.
Mujurlah, dalam keputusan terbaru, 271 daripada senarai asal 389 atlet negara itu dibebaskan untuk turut serta. Cuma, tidak akan ada penyertaan atlet trek dan padang Russia kerana diharamkan oleh IOC.
Penularan virus Zika kekal menjadi kebimbangan hingga menafikan Rio kedatangan sebilangan bintang sukan ternama dunia – terutama golf yang dinafikan empat daripada 10 pemain terbaik: Jason Day, Jordan Spieth, Rory McIlroy and Dustin Johnson -- di samping masalah keselamatan menjadi ancaman pada ketika Brazil sedang mengalami kemelesetan ekonomi terburuk dalam sejarahnya selain krisis politik meruncing.
Bagi meredakan kesangsian terhadap soal keselamatan, Brazil telah menyerapkan 85,000 kakitangan keselamatan dari 55 negara – hampir sekali ganda lebih ramai daripada jumlah di temasya London 2012.
Lebih 500,000 pelancong dijangka menghadiri acara-acara yang dipertandingkan, namun penganjur berkata kira-kira satu juta daripada 7.5 juta tiket masih belum terjual.
Acara-acara akan berlangsung di 32 venue di Rio, dengan perlawanan bola sepak turut dijadualkan di bandaraya lain seperti Belo Horizonte, Brasilia, Manaus, Salvador dan Sao Paulo.
Keseluruhannya, terdapat 306 acara yang bakal dipertandingkan dalam 28 jenis sukan – termasuk kembalinya golf dan ragbi – untuk menyemarakkan persaingan kali ini.
Namun, segala perkara yang hangat diperkatakan – daripada skandal doping, perkampungan sukan yang didakwa mengecewakan hingga kepada kebimbangan mengenai keselamatan -- lazimnya adalah keriuhan pada hari-hari pra-pertandingan, dengan segala tumpuan akan serta-merta beralih kepada persaingan atlet apabila acara-acara dengan rasminya berlangsung.
Obor temasya yang dinyalakan bekas pelari maraton Brazil, Vanderlei de Lima, pada penghujung upacara pembukaan pagi ini, menandakan berakhirnya segala persiapan dan bermulanya pertandingan.
Biarkan temasya Rio bermula…
Must-Watch Video