Skip to main content

Rencana

Berilah Tengku peluang

26916tengkutajuddin.jpg
Saya hairan mengapa penyerang terbaik tempatan dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) tidak terpilih mewakili skuad kebangsaan.

Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil meledak sembilan gol, kurang tujuh gol berbanding rakan sepasukan Terengganu Hockey Team (THT), Jang Jong Hyun yang muncul penjaring terbanyak LHM.

Penyerang kelahiran Perlis ini memiliki stamina tinggi, skil menggelecek dan pukulan kilas kencang - ramuan terbaik sebagai penyerang kebangsaan.

Namun selepas terbabit tuduhan 'ketua gerakan bawah tanah', Tengku seakan dipinggirkan.

"Saya sedia mewakili Malaysia bila-bila masa. Memang sedih apabila tidak terpilih (ke Liga Hoki Australia), namun jurulatih negara mempunyai perancangan tersendiri.

"Saya akan terus bermain hoki untuk mendapatkan semula tempat dalam skuad kebangsaan," kata Tengku selepas bantu THT menjuarai Piala TNB.

Pengendali negara, Stephen van Huizen memilih enam penyerang muda ke Australia iaitu Joel Samuel van Huizen, Firhan Ashaari, Muhamad Ramadan Rosli, Rashid Baharom, Mohd Haziq Samsul dan Nik Muhamad Aiman Nik Rozemi.

Mereka penyerang muda dan belum pernah mengecap sebarang trofi antarabangsa bersama skuad senior.

Prestasi dalam LHM juga kurang menyinar dengan Firhan dan Haziq paling tajam apabila meledak dua gol untuk pasukan masing-masing.

Justeru, Malaysia dijangka berdepan laluan sukar untuk menjuarai Liga Hoki Australia bermula 29 September ini yang turut membabitkan negara luar seperti skuad remaja India dan New Zealand.

Apa yang jadi persoalan, sejauh mana ketiadaan pemain senior akan beri kesan terhadap The Malaysian Hockey Tigers kerana selepas AHL, mereka akan menyertai Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, Pahang, bulan depan.

Kejohanan itu menawarkan mata ranking dunia dan selepas raih tangga keempat Sukan Asia Incheon 2014, adakah Malaysia mampu mengekalkan reputasi empat terbaik benua ini memandangkan Jepun giat membina pasukan mantap Sukan Olimpik Tokyo 2020?

Jika tidak AHL, saya fikir Tengku wajar diberi peluang ke Kuantan kerana dia masih lagi yang terbaik di Malaysia.

Sekurang-kurangnya sebagai pemain Skuad Pembangunan kendalian Wallace Tan, walaupun sudah melebihi 200 kap. Berilah dia peluang.

Advertisement

Must Watch Video