Skip to main content

Rencana

Baru melatah, belum mengaum

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

malaysia-thailad-zulhelmi.jpg
Skuad Harimau Malaya mencipta sejarah tersendiri apabila menyingkirkan juara bertahan, Thailand, untuk mara ke pentas akhir Kejohanan Piala Suzuki AFF 2018.

Namun, kejayaan itu tidak hadir dengan mudah sebaliknya anak buah Tan Cheng Hoe terpaksa berdepan pelbagai rintangan untuk menghadapi perlawanan separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Rajamangala, semalam.

Sejurus tiba di Bangkok dua hari sebelum perlawanan, kekuatan mental pemain negara sudah diuji apabila terpaksa berlatih dalam keadaan padang berlopak di beberapa tempat dan tiada garisan gol.

Tidaklah begitu teruk dan pemain negara masih boleh menjalani latihan seperti biasa tetapi tuan rumah seolah cuba melancarkan perang psikologi kerana umum tahu, negara itu sebenarnya mempunyai banyak padang latihan terbaik berdasarkan reputasi gah beberapa kelab di sana.

Tuan rumah menyerlahkan lagi perang  psikologi  mereka menerusi kenyataan penjaga gol utamanya, Chatchai Budprom dalam sidang media perlawanan. "Anda boleh tidur lena malam ini kerana esok merupakan mimpi ngeri buat anda".

Kenyataan berani mati itu jelas mahu membangkitkan kemarahan pemain negara untuk turun berentap pada hari perlawanan. Itu antara cabaran pemain negara di luar padang dan di dalam padang pula tidak kurang hebatnya.

Skuad negara terpaksa bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat skuad Gajah Perang 2-2. Sudahlah terpaksa menguatkan mental dan fizikal untuk mendapatkan gol, hujung perlawanan pula mereka diuji dengan insiden layangan kad merah.

Pertahanan negara, Syahmi Safari yang awalnya cemerlang meledak jaringan cantik mengutip kad kuning kedua selepas didapati melakukan kesalahan dalam kotak penalti sekaligus menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan.

Namun, rasa cemas penyokong negara dan petugas media yang hadir di stadium itu terlerai apabila penyerang berbisa mereka, Adisak Kraisorn, gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus memastikan kemaraan Malaysia ke perlawanan akhir.

Sememangnya, ia detik manis untuk arena bola sepak negara kerana kali terakhir kita layak ke final empat tahun lalu dan kali terakhir kita merangkul trofi kejuaraan pada 2010.

Saya yang turut berada di sana cukup berbangga dengan semangat pemain negara yang tidak kenal erti putus asa dan sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka hasil usaha keras selama ini dan tidak lupa penyokong yang sanggup terbang ke Bangkok.

Ini semua demi lencana di dada!   

Advertisement

Must Watch Video