Skip to main content

Rencana

Bantu salah tak bantu salah

syarul-azman-mahen.jpg
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam keadaan serba-salah dalam menangani isu pemain badminton beregu lelaki, Goh V Shem/Tan Wee Kiong, dan beregu campuran, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying yang bergelar pemain profesional.

Jika tidak dibantu, MSN akan didakwa mengabaikan kebajikan atlit yang masih kompetitif di pentas antarabangsa termasuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tetapi langkah itu meletakkan MSN dalam situasi 'checkmate'.

Kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, untuk membincangkan perkembangan pemain profesional dengan pihak tertentu diikuti Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, yang sedia menghulurkan bantuan mewujudkan polemik.

Beberapa atlet profesional yang bukan saja membabitkan badminton tampil ke hadapan.

Antaranya, Roslin Hashim (badminton) dan Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan) yang minta MSN turut mengkaji tindakan itu secara menyeluruh.

Bagaimana dengan nasib atlet profesional yang lain?

"Saya perlukan lebih RM35 ribu setahun untuk mempersiapkan diri menghadapi kejohanan dunia dan Asia. Saya tidak mahu menambah beban MSN tetapi akan gembira jika imbuhan Shakam (Skim Hadiah Kemenangan Sukan) dapat ditambah. Saya menyahut cabaran itu untuk terus mempertahankan gelaran Mr Universe dan Asia," kata Syarul.

"Saya fikir bantuan seperti ini lebih kepada situasi menang-menang untuk atlit dan MSN. Walaupun berbeza dengan bantuan terhadap beregu profesional namun sedikit sebanyak ia cabaran positif untuk atlet mempertahankan kejuaraan mereka. Bukannya bagi suka-suka.

"Saya menyokong tindakan MSN bantu beregu profesional tetapi jangan lupakan atlet lain." 

Dalam soal ini, Shapawi perlu bijak hadapi tekanan. Seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung jangan selerak.

Kalau boleh semua nak dibantu, tapi ukur baju dibadan sendiri. 

Advertisement

Must Watch Video