Skip to main content

Rencana

Bale mungkin terkebil-kebil

bale-2.jpg
Empat tahun lalu, Gareth Bale menolak peluang untuk memperluaskan pengalamannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama gergasi England seperti Chelsea dan Manchester United selepas meninggalkan Tottenham Hotspur untuk ke Real Madrid, sekaligus muncul sebagai pemain termahal dunia ketika itu dengan nilai GBP90 juta (RM496 juta).

Musim pertamanya bersama Los Blancos memberikan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) kepadanya dan dia sendiri menjaringkan satu gol menerusi tandukan ketika menundukkan Atletico Madrid 4-1 dalam aksi final di Lisbon.



Kini, spekulasi bertiup kencang bahawa Presiden Real Madrid, Florentino Perez, mahu meletakkan bintang Wales itu dalam senarai jualan kerana sudah mula bosan dengan episod kecederaannya yang sering berulang.

Dia terlepas 40 perlawanan dalam 60 aksi terakhir keseluruhan buat Madrid dan situasi itu menyebabkan Bale sudah mengalami 11 kecederaan yang berasingan sejak tiba di Santiago Bernabeu pada 2013.

Padausia 28 tahun, karier Bale seharusnya berada di puncak kerana umur tersebut adalah waktu paling ideal buat seorang pemain bola sepak untuk berada di tahap terbaik. Jadi, di mana silapnya?

Jika ketika ini dia sedang melalui proses pemulihan daripada kecederaan paha, sebelum ini Bale pernah mengalami masalah dengan betis, pinggang, buku lali serta lutut sepanjang berada di Sepanyol -- "melengkapkan" senarai kecederaan buat seorang bintang bola sepak. 

Lebih perit, kesemua masalah yang dihadapi oleh bekas produk belia Southampton itu mampu memberikan kesan besar kepada kunci utama kelebihan yang dimiliki Bale, iaitu kepantasan dalam larian.



Kemunculan bintang-bintang muda yang semakin menyinar seperti Isco, Marco Asensio dan Dani Ceballos semestinya membuatkan pengendali pasukan, Zinedine Zidane, perlahan-lahan melupakan khidmat Bale walaupun perkara itu dinafikan oleh legenda Perancis itu.

Kecederaan Bale juga menyaksikan dirinya gagal membantu skuad kebangsaan untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018, selepas terlepas tiket kepada Republik Ireland untuk sekurang-kurangnya beraksi di peringkat playoff.

Persoalannya, pasukan mana yang mahu mendapatkan pemain yang berstatus elit tetapi kerap dihantui masalah kecederaan? 

Lihat sahaja apa yang terjadi dengan Marco Reus (Borussia Dortmund) dan Jack Wilshere (Arsenal). Kedua-duanya hanya "terperap" dalam pasukan masing-masing walaupun memiliki kemahiran yang tinggi dalam memberikan impak di atas padang.



Meskipun sejarah merekodkan tandukan deras, larian pantas serta corak permainan Bale yang gemar melakukan rembatan padu dari jarak jauh, semuanya hanya coretan yang akan "melekat" dalam kepala peminat bola sepak pada hari ini, tetapi bukan buat pengurus-pengurus pasukan gergasi Eropah.

Jika dijual, mungkin ada pasukan yang masih mahukannya tetapi yang pasti, bukan dengan harga seperti jumlah yang Madrid bayar untuk mendapatkannya dulu dan Bale, pasti dia termenung terkebil-kebil ketika ini memikirkan nasibnya.

Advertisement

Must Watch Video