Skip to main content

Rencana

Badminton harungi zaman kemerosotan?

men-double_1.jpg
Kegagalan skuad badminton negara untuk memenangi sebarang pingat dalam Sukan Asia ke-18 di Jakarta/Pelembang amat mendukacitakan dan mengecewakan. 

Buat kali pertama sejak 1986, badminton gagal menyumbangkan sebarang pingat kepada kontinjen Malaysia. 

Ia ibarat satu malapetaka melanda skuad badminton apabila tiada satu pun wakil negara melangkah ke saingan suku akhir. Apakah ia petanda badminton negara ketika ini mengharungi zaman kemerosotan?

Mungkin sudah dapat diramalkan prestasi buruk skuad badminton negara dalam Sukan Asia ini. Sasaran dua pingat yang diletakkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, tidak kesampaian. 

Pemain badminton negara tidak konsisten dengan persembahan masing-masing. Beberapa pemain meraih kejayaan dalam kejohanan terbuka antarabangsa tetapi tidak konsisten dalam persembahan mereka yang ibarat seperti yo-yo. Penggantungan berlebihan kepada Datuk Lee Chong Wei turut membawa padah kerana ketiadaannya akibat masalah kesihatan menyebabkan pemain perseorangan muda negara tidak dapat memikul beban yang diletakkan.

Aksi beregu campuran juga mengecewakan dan begitu juga kepada beregu lelaki dengan gandingan Goh V Shem/Tan Wee Kiong sekali lagi mendukacitakan, manakala aksi beregu kedua Teo Ee Yi/Ong Yew Sin tidak dapat menyerap tekanan berdepan sorakan padu penonton tuan rumah.

Realitinya, skuad kali ini begitu tempang. Pemilihan pemain pada saat akhir seperti kemasukan Liew Daren seolah-olah menunjukkan langkah terdesak BAM untuk menyelamatkan bahtera yang sudah semakin hanyut.

Memandangkan Sukan Olimpik 2020 hanya dua tahun saja lagi sudah, pasti kegagalan ini menimbulkan rasa khuatir mengenai halatuju pemain badminton negara. Janganlah kita berbicara untuk memenangi pingat di Tokyo nanti sebaliknya fokus sekarang ialah bangkit memperbetulkan kelemahan.

Tiada guna untuk tuding jari cari kesalahan kerana nasi sudah menjadi bubur dan ia tidak akan mengubah apa-apa. Tiba masa untuk berpijak dibumi nyata dan akui hakikat keadaan badminton negara adalah parah.

Advertisement

Must Watch Video