Skip to main content

Rencana

Badi Stadium Memorial Rizal

irfan.jpg
Sebelum ini, penulis membuat artikel yang menuntut barisan skuad B-22 negara memastikan agar tragedi 1991 di Stadium Memorial Rizal tidak berulang.

Namun, malangnya kekalahan hampir 28 tahun lalu kepada Filipina berulang pada 29 November 2019, juga di stadium serta jaringan sama, 1-0.

Kekalahan kepada Filipina dalam aksi Kumpulan A itu jelas menyulitkan laluan skuad negara ke separuh akhir meskipun peluang kemaraan belum tertutup.

Apabila diundi bersama Myanmar, Filipina, Kemboja dan Timor Leste, ia tampak kumpulan mudah di atas kertas yang menggembirakan Malaysia.

Namun, selepas dua aksi, ia ibarat mudah buat pasukan yang sekumpulan dengan Malaysia.

Terus-terang, penulis sukar menerima kekalahan ini kerana tiada sebab untuk kita tewas kepada Filipina.

Cara gol diraih lawan juga begitu perit untuk diterima apabila sepakan penjuru Stephan Schrock gagal ditangani dengan baik penjaga gol, Haziq Nazli, dan bola menerjah jaring.

Ini adalah kali kedua berturut-turut di pentas Sukan Sea menyaksikan Haziq berada di situasi seperti itu tatkala sebelum ini ketika tewas 0-1 kepada Thailand di pentas akhir 2017.

Jika dilihat kepada senarai pemain, skuad negara mempunyai pemain tengah seperti Syamer Kutty Abba, Daniel Amir Norhisham dan Nik Akif Syahiran Nik Mat yang mempunyai keupayaan melakukan hantaran bola dengan baik.

Namun, mengapa dalam aksi berdepan Filipina, Nik Akif beraksi di bahagian sayap?

Apa pun, Malaysia masih dalam persaingan untuk layak jika mampu merakam kemenangan besar dalam baki perlawanan Kumpulan A berdepan Timor Leste dan Kemboja.

Penulis berharap semua pemain belajar daripada kekalahan ini dan bangkit dalam dua aksi berikutnya.

Penulis turut berharap pengendali skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee, akan kembali mencanang kesebelasan dan taktikal tebaik untuk dua aksi selepas ini.

Apapun, badi Stadium Memorial Rizal masih menghantui skuad negara walaupun bukan barisan senior negara seperti pada 1991.

Kredit foto: FAM

Advertisement

Must Watch Video