Skip to main content

Rencana

Azizulhasni dan sumpahan jersi pelangi

jijoe2_3.jpg
Barangkali ia hanya berkisar kepada ketahayulan atau kepercayaan khurafat, namun Azizulhasni Awang harus kini tersenarai sebagai mangsa terbaru mitos “sumpahan jersi pelangi”.

Sekembali dari Hong Kong selepas dinobat juara dunia keirin dalam Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI pada tanggal 13 April tahun lalu, The Pocket Rocketman dalam kunjungannya ke Astro Arena pernah ditanya mengenai sumpahan berkenaan – yang sangat popular dalam kalangan atlet berbasikal.

Anehnya, di sebalik ramai yang mempercayainya, setiap daripada mereka pula mengidam untuk menyarung jersi ‘berpuaka’ itu.

Enggan mempercayainya, Azizulhasni sebaliknya menawarkan perspektif positif terhadap kejayaan pelumba legenda Britain, Sir Chris Hoy, yang bukan sekadar memenangi jersi berbelang itu – dari bawah ia berjalur hijau, kuning, hitam, merah dan biru -- malah turut berjaya mempertahankannya.

“Ya, saya tahu mengenai cerita sumpahan jersi pelangi ini,” kata Azizul ketika itu, lalu menyambung, “Tapi saya mahu ikut jejak Chris Hoy yang menang jersi itu dan kemudian berjaya mengekalkannya.”

Namun, andai disorot perjalanannya sejak kejayaan di Hong Kong itu, Azizul – seperti sumpahan yang dimaksudkan – tidak terkecuali dirundung malang.

Terbaru, dalam final acara keirin Sukan Komanwel Gold Coast semalam, Azizul masih mampu membarisi kelompok enam pelumba di peringkat akhir di sebalik kesihatannya yang terjejas dengan serangan virus di paru-paru, hanya untuk menamatkannya di tempat terakhir.

Apakah maksud sumpahan jersi pelangi?

Menyamai sumpahan hiasan kulit majalah Sports Illustrated, ‘sumpahan jersi pelangi’ lazimnya merujuk kepada suatu fenomena di mana pelumba yang pernah menyarung jersi itu sebagai juara dunia, mengalami nasib malang pada tahun sesudah itu.

Kes-kes rujukannya sudah terserlah seawal tahun 1965 lagi apabila pelumba Britain, Tom Simpson, yang memenangi gelaran dunia pada tahun berkenaan, patah kakinya ketika bermain ski pada tahun berikutnya.

Juara dunia 1970, Jean-Pierre Monseré, meninggal dunia ketika menyarung jersi berpuaka itu dalam satu perlumbaan pada tahun berikutnya.

Juara dunia 1990, Rudy Dhaenens dari Belgium, bukan saja tiada sebarang kejuaraan sepanjang 1991, malah terbunuh dalam satu nahas jalan raya enam tahun kemudian.

Juara jalan raya dunia 2008, Alessandro Ballan, disahkan menghidap cytomegalovirus tahun berikutnya dan gagal mengulangi sebarang kemenangan.

Rui Costa, juara jalan raya dunia 2013, disahkan menghidap bronkitis ketika Jelajah Perancis tahun berikutnya dan terpaksa berehat panjang.

Harus ada puluhan lagi contoh ‘sumpahan’ yang disenaraikan (sila rujuk kepada pautan https://en.wikipedia.org/wiki/Rainbow_jersey).

Antara yang terbaru, Peter Sagan dibatalkan penyertaannya dalam Jelajah Perancis pada 2017 selepas perlanggaran dengan pelumba Britain, Mark Cavendish, hingga meranapkan peluangnya untuk menyamai rekod Erik Zabel selaku juara enam tahun berturut-turut.



Sumpahan itu jelas menyinggahi Azizul pada 2018 ini – dengan emas acara keirin Sukan SEA 2017 pada 29 Ogos tahun lalu terpahat sebagai kejayaan terakhirnya.

Memasuki tahun 2018, Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) di Velodrom Nasional, Nilai menjadi ujian awal buatnya. Didahului dengan kekalahan dalam acara keirin untuk sekadar meraih gangsa, dia kemudian turut terkandas dalam acara pecut untuk berpuas hati dengan pingat perak.

Seterusnya, beralih ke Apeldoorn, Belanda pada awal Mac – tempat berlangsungnya Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI – ia meluangkan kesempatan buat Azizul memperagakan jersi pelanginya dengan tujuan untuk mempertahankannya.

Malangnya, dia terkandas seawal  pusingan pertama lagi dan ketika itulah terdedahnya jangkitan virus yang mula dialaminya.

Pada 2015, seorang ahli epidemiologi bernama Thomas Perneger pernah membuat kajian terhadap ‘sumpahan’ itu, dan antara dapatannya ialah:

•    Efek tumpuan – pemakai jersi pelangi harus menanggung tekanan berganda kerana tumpuan berlebihan yang diberikan ke atasnya;
•    Hipotesis atlet buruan -- pemakai jersi pelangi akan sentiasa dikawal ketat oleh pesaing-pesaingnya;
•    Sindrom prestasi merudum – variasi rawak dalam kadar kejayaan lazimnya akan disusuli oleh kurangnya kejayaan pada tahun berikutnya.

Dalam pada itu, terdapat juga pengecualian daripada sumpahan berkenaan, dengan sekurang-kurangnya ada lima kes berbeza di mana pemakai jersi pelangi ini mampu melonjak kembali untuk terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

Diharapkan Azizulhasni juga tidak akan mudah mengalah, dengan kegagalan sementaranya ini hendaklah dipercayai mempunyai hikmah untuknya kembali beraja di pentas dunia.

“I am the keirin king, man,” moga-moga laungan bersemangatnya itu akan diulang dengar pada masa depan.


 

Advertisement

Must Watch Video