Skip to main content

Advertisement

Rencana

Azizul bina Team Azizul

azizulhasni.jpg
Azizulhasni Awang jaguh berbasikal trek Malaysia ada pasukannya sendiri, Team Azizul. 

‘The Pocket Rocketman’ mempunyai misi luas bukan sahaja untuk membina empayer buat diri sendiri, tetapi ingin memberi peluang kepada pelumba muda lain cemerlang di persada antarabangsa. 

Pernah berada di kedudukan nombor 1 dunia dan juara dunia dalam acara keirin, Azizul merupakan satu-satunya atlet negara yang mengilhamkan pasukan sendiri ketika masih kompetitif bersaing. 

Selebriti sukan negara ini yang sudah lama menjadi kenalan rapat saya, sentiasa bersikap peramah, terbuka dan profesional. 

Mari kita kenali dengan lebih dekat siapa itu Team Azizul. 

1. Kenapa Team Azizul? 
Azizul:
Team Azizul adalah inspirasi daripada Team Wiggins yang diilhamkan oleh legenda berbasikal dunia, Sir Bradley Wiggins dari Britain. 
Menggunakan nama saya untuk pasukan buat masa ini juga untuk penjenamaan sendiri selain itu, ia cara kreatif bagi mewujudkan kesedaran dalam usaha saya menuju ke Sukan Olimpik 2020, dan misi tersendiri mewujudkan impak di dalam arena sukan dan masyarakat. 
Walaubagaimanapun, jika ada penaja yang berminat untuk menjadi penaja utama, saya bersikap terbuka untuk menukar nama pasukan. 

2. Siapa Team Azizul dan tujuan? 
Azizul:
Kesemua pelumba Team Azizul amat berbakat dan bersatu dalam menjayakan pasukan. 
Empat pelumba ialah pelumba utama iaitu saya dan tiga pelumba pembangunan yang terdiri daripada Ridwan Shahrom, Amar Daniel Masri dan Fariz Haikal Mohd Kadir.
Rakan sepasukan pasti menjadi pemangkin semangat dalam membantu saya layak ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo selain menjadi platform untuk menyertai perlumbaan Kelas 1 dan 2, Grand Prix serta World Cup Series. 
Disebabkan pasukan kebangsaan dihadkan untuk menyenaraikan 2 pelumba sahaja, dengan adanya Team Azizul ia membuka peluang kepada pelumba negara yang lain untuk layak juga. 
Sesungguhnya melalui penubuhan Team Azizul, impian saya untuk memberi tunjuk ajar dan berkongsi ilmu kepada pelumba muda negara akan tercapai dan ini juga salah satu cara saya membantu pembangunan sukan berbasikal negara. 

3. Adakah ini impian sejak kecil yang pasti dapat memberi inspirasi kepada kanak-kanak Malaysia? 
Azizul:
Sejujurnya tidak pernah terfikir dari kecil untuk menubuhkan sebuah pasukan. 
Tetapi keyakinan dan pendedahan berguna yang saya terima sebagai pelumba elit dunia memberi idea bahawa sesebuah negara tidak perlu bergantung kepada pasukan kebangsaan sahaja, tetapi boleh menubuhkan pasukan profesional bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelumba elit kebangsaan. 
Saya sentiasa menerima soalan melalui email daripada peminat mahupun ahli keluarga bahawa mereka berminat untuk menjadi pelumba basikal negara. 
Dengan harapan Team Azizul akan menjadi platform kepada mereka untuk menimba ilmu berbasikal secara profesional dan perjalanan saya sendiri untuk berada di puncak dunia boleh dijadikan inspirasi kepada adik-adik kecil untuk menjinakkan diri dalam sukan berbasikal. 

4. Apa ‘X-Factor’ Team Azizul? 
Azizul:
Pasti cita-cita saya dan pengendali pasukan termasuk jurulatih John Beasley dan Izham Mohammad amat tinggi. Kami akan mengendalikan Team Azizul secara profesional. 
Kami juga yakin akan kejayaan Team Azizul namun masih terlalu awal untuk berkongsi perancangan terperinci buat masa ini.
Kami akan bekerja keras untuk dapatkan penajaan supaya pelumba pasukan dapat berlatih di Melbourne bersama pasukan kebangsaan serta beraksi di kejohanan penting di serata dunia. 

5. Motto Team Azizul?
Azizul:
Motto Team Azizul diambil daripada motto yang saya gunakan sekian lama dalam karier saya dalam sukan dan kehidupan iaitu, 
‘Give Everything, Leave Nothing’.

Advertisement

Must Watch Video