Skip to main content

Rencana

Azeem Fahmi tekad usaha sendiri untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

azeem.jpeg
Pelari pecut, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi, tekad untuk berusaha keras dengan sendirinya bagi melayakkan diri ke pentas Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos tahun ini tanpa mengharapkan tiket wildcard.

Pelari terpantas negara berusia 19 tahun itu tetap berpendirian teguh bahawa dia mampu mencapai had kelayakan ditetapkan untuk acara 100 meter (m) iaitu 10 saat (s) walaupun ia memerlukannya memecahkan rekod kebangsaan 10.09s miliknya buat masa ini.

Azeem berpendapat ia boleh dicapai kerana fokusnya kini memang ke arah itu, sekali gus muncul pelari pertama dari rantau Asia Tenggara berjaya mencetak masa bawah 10s.

Dengan bermulanya kalendar olahraga 2024 sebelum tarikh tutup kelayakan Olimpik berakhir pada 30 Jun tahun depan, mahasiswa Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat (AS) itu bersedia memberikan lebih daripada 100 peratus komitmen dan tumpuan terhadap sasaran itu.

“Saya masih mengharapkan layak secara merit. Saya tak fikir (tiket) wildcard walaupun mungkin saya boleh dapat nanti. Buat masa ini ada cara lain untuk layak merit melalui ranking dunia.

“Saya perlu berada dalam kelompok 48 terbaik (dunia) dan sekarang saya pada kedudukan ranking ke-38. Maknanya saya perlu terus berusaha untuk mengekalkan situasi ini supaya dapat layak melalui ranking ­kalau tak dapat buat catatan masa (10s)."

Kali terakhir legenda Malaysia, Watson Nyambek, melakukan pencapaian ini adalah dalam edisi 2000 di Sydney, Australia dan jika berjaya, Azeem berpeluang merekodkan sejarah baharu arena olahraga negara sebagai penyambung legasi meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik.

Kita doakan yang terbaik buat Azeem Fahmi dan semoga dipermudahkan urusannya selalu!
 

Advertisement

Must Watch Video