Skip to main content

Rencana

Azeem berdarah raja pecut

azeem-fahmi.jpg
Ketika remaja, saya kagum melihat keluarga yang memberi sokongan padu terhadap anak mereka yang menyertai acara sukan.

Bapa menyediakan peralatan, ibu siap membawa bekal, adik-beradik beri sokongan - elemen penting dalam pembentukan atlit di peringkat akar umbi.

Majoriti yang mendapat kelebihan ini akan melangkah jauh dalam sukan kerana ada pasukan penyokong yang kuat dibelakang mereka.

Saya bercakap mengenai Raja Pecut Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Muhammad Azeem Mohd Fahmi dari Perak.

Dia merangkul emas menerusi acara 100, 200 meter dan lompat jauh kategori Lelaki Bawah 15 Tahun.

Masih terlalu muda tetapi sensasi pelajar Sekolah Sukan Gunung Rapat ini menyaksikan dia diletakkan sebagai pengganti terbaik Lelaki Terpantas Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.

"Bapa saya pelari 110 meter berpagar Perak, dua abang saya juga pernah beraksi di MSSM. Sejak kecil saya mengikut bapa dan abang ke trek".

"Daripada sekadar melihat mereka beraksi, saya mula berlari menggunakan kasut abang. Ayah mengajar teknik asas sementara ibu bawa makanan".

"Ini aktiviti riadah kami sekeluarga dan akhirnya, saya mula serius," kata Azeem.

Apa yang menarik ialah catatan masa Azeem dalam acara 100 dan 200 meter.

Dia rangkul emas dengan catatan 10.63 saat, lebih pantas berbanding pemenang pingat emas acara100 meter lelaki bawah18 tahun.

Malah dalam acara 200 meter,  catatan 21.24 saat lebih baik berbanding bekas Raja Pecut Sukan Sea, Nazmizan Mohamad dan pelari senior, Mohd Haiqal Hanafi.

Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Kassim menyifatkan: "Azeem memiliki saiz tubuh yang baik. Teknik larian dan frekuensi pecutan juga bagus".


"Saya fikir dia memiliki peluang yang baik untuk pecah rekod kebangsaan (10.18 saat) dalam tempoh setengah tahun lagi," katanya.

Prestasi ini sebenarnya bukan satu kejutan. 


Azeem sudah beri amaran tahun lalu apabila layak ke final 100 meter Sukan Malaysia, Sukma Perak pada usia 14 tahun!

Sukma membabitkan atlit berusia 21 tahun dan ke bawah.

Dia menamatkan saingan di tangga kelapan tetapi ia bukti, Malaysia memiliki jaguh dalam pembikinan. Maka, tidak hairanlah dia tidak berdepan masalah untuk menjuarai saingan setara dengan usianya.

Azeem merangkul emas acara 100 meter di Kejohanan Remaja Asia Tenggara di Filipina, bulan lalu selain perak acara 200 meter.

Jika Poad berjaya melahirkan Khairul, Azeem hasil asuhan guru Sekolah Sukan Gunung Rapat, Muhammad Amir Izwan Tan.

Saya fikir Azeem mampu jadi sandaran negara untuk Sukan Sea Vietnam 2021. 


Moga terus berkembang merampas status Lelaki Terpantas Malaysia.

Advertisement

Must Watch Video