RENCANA
Ayuhlah BBNU, yakinkan dirimu!
Jika dilihat daripada senarai 20 pemain yang dimiliki oleh skuad bawah 23 tahun negara, mereka seharusnya tidak berdepan masalah untuk meraih tiga mata dalam perlawanan pertama acara bola sepak Sukan SEA Filipina 2019 semalam.
Berdepan pasukan Myanmar yang dibimbing bekas jurulatih Kelantan, Velizar Popov, skuad negara sekadar terikat seri 1-1, satu keputusan yang menyaksikan Harimau Muda kerugian dua mata.
Biarpun menurunkan pemain yang turut beraksi bersama skuad senior seperti Haziq Nadzli, Dominic Tan, Adam Nor Azlin, Syahmi Safari, Syamer Kutty Abba, Danial Amer Norhisham dan Akhyar Rashid, persembahan skuad negara dilihat longlai dengan tiada aksi yang benar-benar mempamerkan kualiti sebenar skuad negara.
Iklan
Malah, tidak keterlaluan andai Dayang katakan keputusan seri itu adalah satu bonus buat Malaysia memandangkan Myanmar beraksi dengan lebih baik daripada semua aspek.
Adakah pemain-pemain Malaysia menghadapi kesukaran beraksi di padang tiruan yang tidak begitu baik kualitinya? Atau adakah taktikal jurulatih yang menerapkan formasi 3-4-3 gagal diterjemahkan dengan baik di atas padang?
Ini kerana persefahaman di antara pemain dalam mencipta gerakan dilihat seperti tersekat-sekat dan tiada hala tuju. Satu-satunya gol daripada Hadi Fayyadh Abdul Razak juga hadir menerusi kesilapan pertahanan lawan dan peluang terbaik untuk mendahului hadir daripada situasi bola mati hasil percubaan Adam Nor Azlin.
Ada kemungkinan persembahan baik skuad senior negara memberikan sedikit tekanan kepada mereka memandangkan tahun ini Harimau Malaya mempamerkan peningkatan yang amat positif.
Jadi, harapan peminat di tanah air sudah tentu tinggi terhadap skuad bawah 23 tahun negara.
Harus diingat, skuad ini mempunyai misi membalas dendam selepas tewas di pentas final kepada Thailand dalam Sukan SEA 2017.
Dayang bukanlah seorang pemain bola sepak, namun Dayang positif adik-adik yang berada di Manila mampu mempamerkan aksi yang lebih baik.
Malaysia akan berdepan pasukan tuan rumah, Filipina, Jumaat ini, dan aksi ini boleh diibaratkan sebagai misi wajib menang memandangkan tiga mata harus diraih untuk mengukuhkan laluan ke peringkat kalah mati.
Come on “BBNU”, pamerkan keyakinanmu di atas padang seperti abang-abang dalam skuad senior!
Must-Watch Video