Skip to main content

Rencana

Ayon tak mahu jadi 'jaguh kampung'

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ayon19117.jpg
Sebut sahaja nama Ayon, pasti masih ramai yang kurang mengenali pemain ini. Namun, bagi penggiat sukan futsal tanah air, Ayon dianggap idola masa kini! 

Ayon atau nama sebenarnya Khairul Effendy Bahrin mula menempa nama sebagai pemain futsal ketika mewakili beberapa kelab amatur antaranya 7D'Salsa dan Red Galacticos sekitar tahun 2008.

Dia meraih pelbagai kejayaan dalam pertandingan-pertandingan sosial di tanah air sebelum bakat pemain kelahiran Klang, Selangor itu dikesan Chiew Chun Yong, jurulatih futsal negara kini untuk diberi peluang beraksi dalam liga kompetitif pada 2009.

Ayon 'meletup' ketika mewakili Selangor dalam Liga Futsal Kebangsaan pada musim 2009 dan 2010 apabila membantu pasukannya muncul juara dan diangkat sebagai pemain terbaik dan penjaring terbanyak kejohanan.

Kudrat Ayon kemudian ditagih di peringkat antarabangsa apabila dipanggil buat kali pertama menyertai skuad kebangsaan pada 2010 dan terus menabur bakti untuk negara sehingga kini.

Tahun ini tampak menjadi musim terbaik dalam kariernya menerusi pencapaian membanggakan skuad negara meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur dan menduduki tempat kedua Kejohanan Futsal AFF 2017.

Maka, tidak hairanlah pemain lincah berusia 30 tahun itu mendapat tawaran untuk beraksi di Indonesia apabila khidmatnya ditagih SKN FC Kebumen. 

Difahamkan, Ayon muncul pemain Malaysia kedua beraksi dalam Pro Futsal League Indonesia selepas ada seorang pemain tempatan berkelana di sana pada 2012.

Apa pun, sebenarnya ini bukan kali pertama Ayon beraksi di luar negara kerana dia pernah tampil dalam Liga Futsal Thailand tetapi hanya tempoh singkat dan kali ini ia membabitkan tempoh yang lebih lama.

Lebih menarik, tawaran ini berlaku ketika Liga Futsal Kebangsaan dikhabarkan akan diadakan awal tahun depan di mana Ayon mempunyai pilihan untuk beraksi di tanah air tetapi dia tampak memilih untuk beraksi di luar Malaysia.

Walaupun ia membabitkan tawaran lumayan, namun penulis berasakan keputusan Ayon itu adalah disebabkan sukan futsal itu sendiri di mana mungkin dia mahu membuka mata semua pihak agar sukan futsal perlu diberi perhatian khusus di negara ini.

Jadi, tidak keterlaluan jika Ayon dilabel sebagai pejuang sebenar futsal tanah air dan semestinya dia tidak mahu sekadar menjadi jaguh kampung! 

Advertisement

Must Watch Video