Skip to main content

Rencana

"Attacking football" lebih menghiburkan

fernan_1.jpg
Bola sepak! Sentiasa berubah mengikut peredaran zaman, terutama sejak dekad lalu. Permainan kini menjadi lebih pantas, lebih melibatkan fizikal dan lebih menghiburkan.

Jaringan agregat seperti 6-5 (Barcelona bertemu PSG) dan 4-4 boleh dilihat dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) sejak kebelakangan ini. Perlawanan hambar dan membosankan seperti perlawanan akhir Milan dan Juventus pada 2003 kini hanya tinggal kenangan.

Tiada lagi sistem pertahanan ampuh dengan barisan empat pemain bek yang gagah perkasa berdiri tegak tanpa melakukan apa-apa. Kini, gaya permainan bola sepak era baru dengan corak terbuka telah muncul dan diharapkan ia akan kekal lebih lama.

5 Ogos 2019, Harry Maguire telah menjadi pemain pertahanan paling mahal secara rasminya. Dia dilaporkan menandatangani kontrak yang bernilai AS$97 juta (RM277 juta) bersama Manchester United. Perkara inilah yang terjadi kepada pemain-pemain pertahanan sekarang. Kekurangan pemain pertahanan yang bagus membuatkan nilai mereka melonjak ke langit. Zaman telah berubah daripada kegemilangan pemain legenda seperti Carles Puyol, Franco Baresi, Tony Adams, Paolo Maldini dan Alessandro Nesta kepada pemain tahap sederhana yang dibayar sejumlah wang yang tidak munasabah tingginya hanya untuk berada di belakang pemain tengah.

Anda masih tidak berasa kagum? Piala Dunia 2018 adalah bukti kepada keadaan semasa industri bola sepak. Hanya ada satu perlawanan yang seri tanpa gol sepanjang kejohanan. Sejumlah 169 gol dijaringkan dalam 64 perlawanan – ia bermakna satu perlawanan mempunyai purata 2.7 gol. Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pasti gembira dengan cara permainan sekarang. Jumlah penonton semakin bertambah sehinggakan ia seolah-olah setiap perlawanan adalah satu bentuk iklan yang hebat buat sukan ini. Walaupun sukan bola sepak tidak perlu diperkenalkan lagi, jumlah jaringan terbukti mempengaruhi kepopularannya. [bbc.com, nytimes.com, usatoday]

Apakah punca di sebalik perubahan besar dalam sukan bola sepak ini?

Tiada tarikan

Dari dulu hingga sekarang, barisan pertahanan dilihat sebagai kedudukan yang membosankan dalam bola sepak. Posisi pertahanan sering menjadi posisi terakhir yang dipilih oleh kanak-kanak apabila mahu bermain bola sepak.

Tidak menguntungkan: Industri bola sepak, terutama di Eropah mempunyai aliran tunai yang besar. Purata pendapatan pemain dalam Liga Perdana Inggeris ialah GBP44,000 (RM126,084) seminggu. Bermakna, mereka mendapat GBP2.29 juta (RM6.56 juta) setahun (forbes.com). Tidak dikira lagi dengan faedah istimewa dan kemasyhuran sebagai pemain bola sepak. Oleh sebab itu, ramai orang, terutama golongan yang kurang bernasib baik dari negara-negara membangun, menganggap bola sepak sebagai jalan keluar daripada kancah kemiskinan.

Kelab bola sepak Eropah mana yang akan meluru untuk membida pemain pertahanan yang bekerja keras dari negara-negara membangun? Bagaimana kisah tentang pemain-pemain pertahanan ini tersebar kepada kelab-utama di Eropah? Mereka semua sibuk bercakap tentang pemain penyerang yang mampu menembusi barisan pertahanan atau menjaringkan gol yang banyak.

Lebih menghiburkan

Kini pada mata penonton, perlawanan bola sepak yang dianggap menghiburkan bukan saja mengambil kira kemenangan yang dicapai dan jumlah trofi yang diraih. Penyebab kepada fenomena ini adalah Maurizio Sarri, Louis Van Gaal dan Antonio Conte.

Corak permainan bola sepak menyerang telah jauh berubah sehinggakan pemain pertahanan tidak dinilai dengan kebolehan pertahanan mereka semata-mata. Pemain yang hanya mempunyai kemahiran pertahanan kini dianggap sudah ketinggalan zaman. Keperluan utama untuk menjadi pemain pertahanan pada masa ini dilihat pada kemahirannya mengawal bola, kemahiran melakukan hantaran dan lain-lain kemahiran yang dulunya dianggap tidak berkaitan. Kini pengurus Manchester City, Pep Guardiola, membawa era baru yang mana penjaga gol juga akan dinilai berdasarkan kriteria-kriteria ini berbanding kebolehannya menangkap bola.

Pada tahun 2016, John Stones telah dibeli dengan harga RM143 juta  yang tidak masuk akal bagi seorang pemain pertahanan yang kemahiran utamanya adalah dia boleh menggelecek boleh dengan lebih baik daripada pertahanan lain. Dalam kempen Piala Dunia 2018, Stones yang bersama generasi pemain England yang semakin meningkat naik, berjaya menghadirkan aksi terbaik apabila menjaringkan dua gol ke atas Panama.

"Kami mahu membantu Stones untuk menampilkan kualitinya bersama kami dan memperkembangkan lagi bakatnya," kata Guardiola. "Saya gemar dengan caranya beraksi dan tidak sabar untuk menyaksikan dia beraksi dalam kesebelasan utama." (menerusi satu petikan daripada artikel theguardian.com bertarikh 9 Ogos 2016)

Pada bila-bila masa saja, semua pasukan bola sepak akan tiada pemain pertahanan yang baik. Tidak lama lagi, pemain tengah mungkin akan diletakkan di bahagian belakang. Ashley Young, James Milner, Fabian Delph dan Fernandinho adalah bukti yang era baru bola sepak kian menghampiri.

Namun, adakah perkara ini menguntungkan arena bola sepak? Adakah jumlah penonton yang lebih ramai lebih penting daripada teknik pertahanan yang kini hampir menghilang?
 

Advertisement

Must Watch Video