Pemilik nama Imran Daniel Abdul Hazli ini bersaiz kecil dan mungkin kelihatan seperti kanak-kanak seusia dengannya yang masih malu-malu apabila diajukan soalan di hadapan lensa kamera. Namun apabila sudah sedikit selesa, saya pula yang menjadi kagum dengan visi yang ada pada atlit muda ini.
Buat masa ini, Imran Daniel selesa dibimbing ayahnya, Abdul Hazli Zainuddin yang juga bekas pemain tenis kebangsaan. Namun keputusan untuk terlibat secara serius dalam sukan ini bukan paksaan atau dipengaruhi sesiapa. Percaya atau tidak, Imran Daniel mampu bermain dengan baik sejak berusia 4 tahun lagi.
Advertisement
Menjadikan Novak Djokovic selaku idola, Imran Daniel menyimpan hasrat untuk menjadi antara pesaing dunia menjelang usia 20an nanti. Bagaimanapun dia tahu, cita-citanya itu tidak mudah untuk direalisasikan. Perjalanannya ke Turki bagi memenuhi undangan selaku pemain "wild card" di Kejohanan tenis Masters Remaja Dunia juga hampir gagal.
Bukan kerana tidak bersedia, tetapi semuanya kerana kos perjalanan yang tinggi. Mujur beberapa wakil individu menghulurkan bantuan dan kepercayaan itu dibalas Imran Daniel dengan kejuaraan... bukan SATU tetapi DUA gelaran juara di kejohanan antarabangsa masters pertamanya itu.
Kenangan menewaskan pemain pilihan pertama kejohanan, Youssef Labbene akan sentiasa dalam ingatan Imran Daniel. Katanya dia perlukan 3 jam untuk menjinakkan pemain Tunisia itu namun segalanya berbaloi. Malah penyertaannya dalam kategori 11 tahun juga mencuri tumpuan apabila seorang demi seorang pemain lebih tua daripadanya ditumbangkan, sehinggalah dia dinobat juara.
Dalam senyuman, Imran Daniel berkongsi rasa terujanya untuk membuka kalender 2016 yang menawarkan lebih banyak kejohanan antarabangsa buatnya. Dalam hati saya pula berkata, jika atlit sekecil ini tidak kisah menghabiskan cuti sekolahnya dengan berlatih di gelanggang, tidakkah mereka ini wajar dijadikan contoh terbaik buat semua.
SELAMAT BERJAYA BUAT IMRAN DANIEL ABDUL HAZLI