RENCANA
Anda rasa Solskjaer ada masa untuk sakit kepala?
Marcus Rashford hanya memerlukan tempoh 16 minit untuk menjaringkan hatrik sewaktu menentang RB Leipzig dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah semalam.
Persembahan hebatnya mendorong pemain tengah legenda United, Paul Scholes, untuk membandingkan Rashford dengan pemain legenda United di posisi penyerang, Ruud Van Nistelrooy.
Menurut akhbar Daily Mail, Schoes dipetik sebagai berkata: “Dia main macam Van Nistelrooy. Bila kita nampak dia berjaya menembusi barisan pertahanan lawan, kita tahu dia mesti akan berjaya menjaringkan gol.
Iklan
“Kalau Rashford boleh teruskan persembahan sebegini, dia mungkin boleh menjaringkan 25 gol semusim.”
Jika diperhatikan dengan teliti, gol pertama Rashford sewaktu menentang RB Leipzig sememangnya ada baur-baur persamaan dengan Van Nistelrooy.
Dia memecut laju untuk melepasi pemain pertahanan lawan, mengubah haluan bola dengan begitu lembut sekali bagi memperdayakan penjaga gol lawan dan disudahi dengan sepakan tepat ke penjuru pintu gol -- aksi-aksi yang disamakan dengan salah satu gol Van Nistelrooy sewaktu dia menjaringkan hatrik menentang Fulham pada tahun 2003.
Kenyataan Scholes disokong oleh seorang lagi legenda United yang bermain di posisi pertahanan tengah, Rio Ferdinand.
“Rashford membuatkan pemain-pemain pertahanan RB Leipzig nampak macam budak sekolah malam ini!” Ungkapannya ringkas, tetapi sememangnya pedas.
Kejayaan United menjaringkan 5 gol tidak seharusnya dianggap sebagai jasa Rashford seorang sahaja, cuba kita lihat dari sudut taktikal United dalam perlawanan tersebut.
Pemain kendalian Ole Gunnar Solksjaer turun ke padang dengan formasi jentera tengah berbentuk berlian, satu percaturan berbeza berbanding dengan formasi yang mereka tunjukkan sewaktu menentang Chelsea, dan ternyata ia berhasil!

Dalam formasi ini, Nemanja Matic beroperasi di bahagian teras jentera tengah. Tugas utamanya adalah untuk merampas kembali bola daripada pihak lawan.
Fred yang diletakkan di bahagian tengah kanan diberikan tugasan yang sama dan ternyata persembahannya bermain tanpa mengenal erti penat.
Paul Pogba yang akhirnya diturunkan untuk beraksi diletakkan di sebelah Fred, kelihatan jauh lebih selesa dalam perlawanan ini berbanding perlawanan-perlawanannya sebelum ini.
Pemain pembelian terbaru, Donny Van de Beek, ditugaskan untuk menerajui serangan jentera tengah dan menurut laman sesawang planetfootball.com, dia telah berlari sejauh 10.06km dalam tempoh 70 minit permainannya, betapa rajinnya dia berusaha.
Secara keseluruhannya, ia satu malam yang penuh gemilang buat United, sehinggakan ada peminat yang bersenda, “Harga Dayot Upamecano sudah turun sebab persembahan dia teruk malam ini. Ini semua sebahagian daripada rancangan United untuk beli dia dengan harga murah!”
Mari kita lihat sama ada persembahan United ini boleh dikekalkan dalam perlawanan mereka dalam Liga Perdana Inggeris selepas ini.
Must-Watch Video