Skip to main content

Rencana

Al-Jufferi tidak marah Indonesia

silat2.jpg
Tenang semua tenang.

Banyak kekecohan di media sosial sama ada di laman berkaitan silat, sepak takraw, bola sepak mahupun hoki. Semua bercakap mengenai isu Malaysia vs Indonesia.

Saya mahu menerangkan apa yang berlaku selepas isu pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari menarik diri final Putera E (bawah 70kg), Isnin lalu.

Paling utama, Jufferi tidak salahkan Indonesia. Isunya ialah dua juri dari negara lain yang berat sebelah ketika dia menentang pesilat tuan rumah, Komang Harik Adi Putra.

Banyak serangan Jufferi tidak dikira dan ketika pertarungan berbaki dua saat, juara dunia tiga kali itu menarik diri. Saya merakam segalanya dalam suasana penyokong yang makin tegang kerana menyangka Jufferi marahkan tuan rumah, sama ada pegawai teknikal, penyokong waima sukarelawan.

Tidak! Dia marahkan dua daripada lima juri itu dan mereka bukannya dari Indonesia.

Saya kemudian mengikut pergerakan Jufferi, bermula pelukan tahniah kepada Komang, diikuti gaya menghormati penonton, naik ke tempat duduk skuad negara, berpelukan dengan Menteri Belia dan Sukan kemudian menemui keluarganya sambil menangis.

Saya melihat segalanya hingga dia memasuki bilik persalinan dan tiba-tiba, kekecohan berlaku...dinding papan bilik persalinan dipecahkan.

Itulah yang berlaku dan Jufferi kemudian tampil bertemu media, menyatakan rasa kecewa terhadap juri.

Apa yang menghairankan, mengapa rakyat kedua-dua negara bertelagah di media sosial?

Kutukan ini seolah-olah meluahkan apa yang terbuku di hati sejak sekian lama. 

Saya terfikir, adakah ini membabitkan dendam yang terbuku sejak Kejohanan AFF Bawah 19 Tahun? Adakah ia membabitkan isu bakar bendera Malaysia? Adakah ia membabitkan isu rakyat Indonesia bekerja di Malaysia atau apa sebenarnya?

Saya melihat banyak perkara baik berlaku di Jakarta. 

Penduduknya ramah. Pemandu van kami, Pak Ary baik hati. Beliau sanggup bantu saya dapatkan baju raya untuk buat liputan sempena Aidiladha. Rumahnya ke venue acara wushu ketika itu jaraknya hampir sejam. 

Sukarelawannya juga banyak membantu. Tidak kira sama ada saya dari Malaysia atau negara mana, mereka akan bantu. Tetapi mengapa di media sosial nampak umpama mahu berperang?

Sudah lama saya mahu katakan, sebenarnya Malaysia sayang Indonesia, Indonesia sayang Malaysia.

Gaduh-gaduh di media sosial, bila bertemu hormat-menghormati kerana kita sama bangsa.

Jiran memang begini. Cuba lihat jiran sebelah rumah kita, pasti ada perkara yang tidak puas hati walaupun hanya membabitkan najis kucing. Tetapi percayalah, apabila masalah berlaku kita yang akan bantu dulu.

Jadi, jangan gaduh-gaduh. Andai saya melakukan kesilapan, saya mohon maaf.

Laman sosial saya juga diserang, sampai ada ugutan untuk mencederakan saya. Jika rakyat Malaysia atau Indonesia melakukan salah, saya juga memaafkan anda. 

Sukan Asia sudah menghampiri penghujung, kita sokong atlit masing-masing OK! 
 

Advertisement

Must Watch Video