Skip to main content

Rencana

Aksi di Larkin tidak pernah mengecewakan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

akhyar-rasid.jpg
Tiga kad merah, empat gol di penghujung perlawanan dan lapan minit masa tambahan, aksi di Stadium Larkin jelas tidak pernah mengecewakan.

Ia sentiasa dihiasi dengan drama dalam dan luar padang dan kali ini ia telah mewarnai kemenangan 3-1 Johor Darul Ta'zim (JDT) ke atas Felda United untuk perlawanan Liga Super pada Jumaat.

Jujur saya katakan, sudah lama saya tidak melihat aksi lapan lawan 11 pemain dalam aksi kompetitif seperti kancah Liga Super dan kalau ada pun membabitkan perlawanan liga sosial.

Namun, malam tadi saya berpeluang melihat situasi itu depan mata setelah tiga pemain Felda United, Zahril Azri Zabri, Thiago Junior Aquino dan kapten, Hadin Azman dilayangkan kad merah.

Tuan rumah berjaya meraih jaringan hanya selepas skuad Felda kehilangan Zahril dan Thiago menerusi Gonzalo Cabrera pada minit ke-88. 

Sekalipun skuad Felda berjaya buat kejutan meraih gol penyamaan dua minit kemudian, kelebihan pemain nyata bermanfaat buat JDT apabila berjaya mendapatkan dua lagi gol dalam tempoh lapan minit masa tambahan diberikan.

Maka, tidak hairanlah keluar tajuk berita di alam maya "JDT menang selepas lawan lapan orang". Namun, saya tetap dapat berasakan kepuasan barisan kejurulatihan JDT dengan kemenangan itu walaupun bukan menang dengan 11 lawan 11.

Di sebalik insiden kad merah dan gol lewat permainan itu, individu yang mencuri tumpuan sudah pasti Fitri Maskon selaku pengadil perlawanan. Katanya, beliau 'orang' Johor termasuk pegawai keempat perlawanan.

Mungkin, Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan penganjur Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ada jawapan berhubung perkara ini.

Apa pun, keputusan perlawanan itu muktamad dan saya juga ingin memuji jurulatih, Nidzam Jamil, kerana memberi jawapan 'simple' tetapi padu berhubung mutu pengadilan bagi perlawanan itu. 
 

Advertisement

Must Watch Video